Kerajaan digesa bentang Akta Anti Buli Siber
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa membentangkan Akta Anti Buli Siber dalam sesi Parlimen akan datang untuk mendidik masyarakat menggunakan media sosial bagi perkara berfaedah.
Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, kerajaan perlu mengambil langkah drastik bagi mengekang isu pembulian siber menjadi lebih parah memandangkan kes buli siber didakwa semakin meningkat.
Menurutnya, Malaysia menduduki tangga kedua di Asia dan keenam di dunia dalam kategori ancaman buli siber ini menerusi laporan kajian dari sebuah syarikat antarabangsa Ipsos.
“Mangsa buli siber biasanya akan mengalami kemurungan sehingga dalam keadaan tertentu ada mangsa yang membuat percubaan bunuh diri.
“Ia selari dengan peningkatan kes bunuh diri dan buli siber yang dilaporkan seperti dicatatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang juga bekas Menteri KKMM pernah mencadangkan satu Kanun Keseksaan untuk diwujudkan di bawah kementerian tersebut bagi mengekang isu terbabit daripada terus berleluasa.
Katanya, ia juga pernah mendapat perhatian menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Saifuddin Abdullah yang menyatakan kerajaan sedang menjalankan kajian dan penyelidikan untuk mewujudkan akta tersebut.
“Walaupun kita mempunyai akta sedia ada seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun ia tidak cukup untuk mengekang isu buli siber ini.
“Terdapat pelbagai negara yang sudah menguatkuasakan Akta Anti Buli Siber ini contohnya negara Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Filipina, Australia bagi mengekang jenayah buli siber ini daripada terus berleluasa.
“Saya berharap menteri berkenaan dapat membentangkan segera Akta Anti Buli Siber ini dalam sesi Parlimen akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!