Pantau penjualan kit ujian kendiri Covid-19 dalam talian

Gambar kecil: Andansura Rabu
Gambar kecil: Andansura Rabu
A
A
A

KUANTAN- Kerajaan perlu mengawal penjualan kit ujian kendiri Covid-19 terutama di platform pembelian dalam talian.

Langkah itu bagi mengelak kemungkinan berlakunya penjualan kit ujian tiruan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, kit ujian Covid-19 itu dijangka menjadi alat keperluan penting dalam penjagaan kesihatan sepertimana kit-kit ujian kesihatan lain.

"Kita bimbang, jika penjualannya secara dalam talian tidak dipantau kemungkinan pengguna terdedah kepada penipuan dan sebagainya.

"Justeru kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah proaktif untuk tujuan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, orang ramai juga disaran agar memastikan kit ujian yg dibeli mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan menetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 kepada RM19.90 berbanding RM30 hingga RM40 sebelum ini.

"Pada masa sama, saya juga mengalu-alukan cadangan beberapa pihak agar harga alat tersebut dikurangkan lagi bagi meringankan beban rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!