Kemelut PSM: Bekas pemain gesa adakan EGM segera
PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) disaran untuk lebih proaktif mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi mengakhiri kemelut berpanjangan badan induk tersebut pada ketika ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Abdul Malik Samsudin tanpa penyelesaian segera dibimbangi akan menjejaskan tumpuan terhadap persediaan mengharungi saingan Sukan SEA Vietnam tahun depan.
“Sejujurnya kita tidak punya banyak masa; Malah perlu segera memuktamadkan proses pemulihan PSM, apatah lagi ASTAF sudah menyatakan komitmen menerima semula badan induk tersebut dengan sokongan PJS.
“Cumanya seperti dikatakan PJS sebelum ini, PSM perlulah lebih proaktif dalam memastikan badan induk itu kembali sebagai ahli ASTAF, yakni mengadakan EGM segera bagi meluluskan pindaan Perlembagaan dan mengadakan pemilihan kepimpinan baharu. EGM ini penting sebab sekarang PSM tak ada pemimpin. Sukan SEA sudah dekat (tahun depan),” katanya kepada Sukan Sinar.
Sukan Sinar sebelum itu melaporkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) menyambut baik komitmen Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ASTAF) dalam memastikan PSM kembali menyertai semula gabungan tersebut sebaik selesai pemilihan kepimpinan baharu.
Bagaimanapun menurut PJS, Ibrahim Mohd Yusof, PSM perlu mengambil langkah segera dengan mengadakan EGM bagi meluluskan pindaan Perlembagaan PSM dan mengadakan pemilihan kepimpinan yang baharu badan induk tersebut sekaligus melengkapkan fasa pemulihan badan induk berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai EGM berkenaan, Abdul Malik berkata, ia seharusnya berlangsung secara berdepan (fizikal) dan tidak diadakan secara atas talian.
Katanya, EGM pada kebiasaannya akan melibatkan proses-proses teknikal seperti pengundian.
“Untuk EGM ini, rasanya lebih baik ia diadakan secara berdepan fizikal kerana ia melibatkan proses teknikal pengundian apatah lagi bagi mengelakkan masalah berbangkit selepas pengundian.
“PSM ada16 ahli (termasuk PDRM dan ATM), kalau dilaksanakan secara virtual, mungkin terhad hanya dapat kemukakan dua wakil daripada setiap ahli semasa pengundian selain dibimbangi gangguan lain.
“Bagaimanapun pada saya EGM ini sememangnya perlu diadakan dengan segera selain wajib mendapat mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, bagi memastikan semua ahli gabungan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!