Warga emas jatuh kolam terbiar ditemui lemas
KUALA LANGAT - Seorang lelaki warga emas ditemui lemas setelah dipercayai terjatuh jatuh dalam kolam terbiar berhampiran Jalan Gate Kampung Olak Lempit pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kehilangan mangsa disedari ahli keluarganya yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis dan bomba.
"Pihak polis dan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 8.15 malam dibawa ke lokasi kejadian, siasatan awal menemukan sepasang selipar warna hijau milik mangsa di tepi kolam tersebut.
"Siasatan mendapati, mangsa dipercayai keluar rumah sejak jam 2.30 petang, penduduk kampung yang cuba mencari bagaimanapun gagal menemukan mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, usaha mencari mangsa di kolam tersebut kemudiannya dijalankan pihak bomba sekitar jam 9.46 malam.
"Pihak bomba melakukan selaman di kolam tersebut dengan kedalaman 1.2 meter menggunakan bot kecil milik penduduk kampung.
"Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 9.52 malam dalam keadaan mengiring dan terjunam ke dasar kolam sedalam 1.2 meter dengan jarak lebih kurang tujuh meter dari tebing kolam," katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dinaikkan ke darat.
"Mangsa dikenal pasti sebagai warga tempatan berumur 69 tahun.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Banting untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan," katanya.
Kes disiasat di bawah kematian mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!