30 pegawai, anggota TUDM terima anugerah beret biru Paskau
ROMPIN - [DIKEMAS KINI] Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 27 anggota lain-lain pangkat dianugerahkan beret biru Pasukan Khas TUDM (Paskau) sempena Majlis Penutup Kursus Komando TUDM Siri 28/21 di Pantai Hiburan Rompin di sini pada Rabu.
Penganugerahan beret biru kebanggaaan anggota Paskau itu disempurnakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataannya berkata, seramai lapan pegawai dan 91 anggota melapor diri namun hanya tiga pegawai dan 27 anggota berjaya menamatkan kursus.
Menurutnya, penganugerahan beret biru Paskau merupakan anugerah yang diharapkan semua penuntut yang berjaya menamatkan Kursus Komando TUDM.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor Leftenan Muhammad Nur Syazwan Abdul Rahman, 24, membuktikan semangat kental dan kesungguhannya apabila dipilih sebagai pelatih terbaik Kursus Komando TUDM Siri 28/21.
"Melalui Kursus Komando TUDM ini, penuntut perlu melalui beberapa peringkat latihan menggabungkan kekuatan mental dan fizikal.
"Latihan itu menuntut semangat juang, keyakinan dan sikap profesionalisme yang tinggi bagi menghadapi setiap latihan yang mencabar untuk dinilai sebelum layak untuk memakai beret biru dan menjadi anggota Paskau," jelas kenyataan itu.
Kursus Komando TUDM Siri 28/21 dilaksanakan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Bukit Ibam dari 20 Jun hingga 10 September 2021.
"Kursus selama 12 minggu itu dilaksanakan di SLTT bagi fasa latihan peringkat pangkalan selama empat minggu sebelum mengikuti fasa latihan luar pangkalan selama lapan minggu di sekitar Rompin," katanya.
Sementara itu, pada majlis itu Ackbal mengucapkan tahniah kepada para penuntut yang telah dipilih sebagai anggota Paskau setelah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang kursus tersebut.
Menurutnya, kursus itu memberi penekanan kepada kemampuan fizikal yang luar biasa di samping membentuk kekuatan mental yang tinggi sebagai keperluan asas bagi anggota komando ketika melaksanakan misi operasi khas.
Beliau berkata, selain membentuk keupayaan fizikal dan mental yang tinggi, penekanan dan penghayatan berlandaskan kepada lima teras utama TUDM.
"Nilai integriti, kecemerlangan, keberanian, semangat setia kawan dan kepentingan perkhidmatan diutamakan telah diimplimentasikan dalam kursus bagi melahirkan modal insan yang menjadi kebanggaan TUDM," katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Panglima Tentera Udara; Leftenan Jeneral Datuk Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Operasi Udara; Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Mohd Shahada Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!