Bersatu bakal laksana agenda bina negara

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melaksanakan agenda membina negara secara inklusif dan adil berpandukan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, berikutan itu Armada Bersatu sebagai sayap pemuda mengambil langkah untuk melonjakkan parti ke tahap yang lebih tinggi dari segi tadbir urus dan pembentukan kader-kader parti melalui biro-biro dan Akademi Kepimpinan Siasah Raja Ali Haji (AKSARA).

Menurutnya, pelaksanaan Undi 18 menjelang hujung tahun ini juga bakal memperkasakan golongan belia yang akan terus menyuburkan lagi demokrasi negara dengan lebih rancak.

"Kami insaf bahawa perubahan politik yang baik perlu berteraskan ilmu yang benar dan bukanlah sentimen semata-mata. Pemerkasaan sayap dan ahli adalah keutamaan Armada.

"Dari segi kepimpinan pelapis pula menunjukkan bahawa parti Bersatu berani untuk mengetengahkan tokoh-tokoh muda ke barisan hadapan," katanya menerusi Facebook pada Khamis.

Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun kelima penubuhan parti itu.

Katanya, walaupun baru berusia lima tahun, Bersatu mempunyai latar belakang unik untuk terus memainkan peranan penting dalam pembinaan negara.

"Jika kita bersatu hati dan ikhlas menegakkan perjuangan, rakyat pasti akan bersama untuk terus berbakti kepada nusa dan bangsa, insya-ALLAH. Selamat menyambut ulang tahun Bersatu yang kelima!" ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!