Sorok belakang pintu tandas elak dicekup imigresen
MELAKA - Tindakan empat warga Bangladesh menyorok di belakang pintu tandas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa gagal apabila ditahan dalam serbuan bersepadu di Kota Laksamana, di sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, mereka antara 125 warga asing berusia 25 hingga 48 tahun yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Menurutnya, keempat-empat mereka cuba untuk meloloskan diri dengan menyorok di belakang pintu tandas selain ada antara rakan mereka yang cuba melarikan diri masuk ke kawasan belukar.
"Seramai 345 warga asing berjaya ditahan dalam serbuan itu dan hasil pemeriksaan mendapati 111 daripadanya telah melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
"Kesemua mereka dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain serbuan di Kota Laksamana, pihaknya turut melakukan beberapa operasi di tapak pembinaan sekitar daerah Alor Gajah dan Merlimau, Jasin.
Menurutnya, serbuan di dua lokasi lain berjaya menahan 14 lagi warga asing yang terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.
"Siasatan awal mendapati kesalahan utama yang dilakukan adalah tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!