Amalan puasa sunat 'rahsia' panjang umur Munah, Pah
MACHANG - Amalan berpuasa beberapa bulan secara berterusan sehingga menjelang Ramadan adalah rahsia dua beradik warga emas mencecah umur hingga satu abad.
Munah Yunus, 115, dan adiknya, Pah Yunus, 111, yang sudah kematian suami mendedahkan perkara tersebut setiap kali ditanya oleh orang ramai.
Meskipun, kedua-duanya hanya mampu mengengsot kerana mengalami masalah tulang belakang sedekad lalu, namun dua beradik itu tetap menyambut seruan kerajaan untuk menerima suntikan vaksinasi dan telah pun lengkap dua dos pada awal Ogos.
Pah melahirkan rasa syukur kerana dia dan kakaknya dikurniakan umur yang panjang walaupun mengalami masalah tulang belakang akibat terjatuh.
"Saya hanya menghidap Parkinson iaitu sejenis penyakit saraf yang mengakibatkan koordinasi gerakan tubuh terganggu dan hipertensi, manakala kakak tidak menghidap sebarang penyakit kronik.
"Cuma disebabkan faktor usia, pendengaran kami kurang jelas, penglihatan pula sedikit kabur selain ingatan juga tidak begitu kuat," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Mengulas mengenai amalan berpuasa yang dilakukannya, ibu kepada lima anak, 18 cucu serta 36 cicit itu memberitahu, selain berpuasa selama berterusan dua bulan menjelang Ramadan, Pah turut berpuasa setiap Isnin dan Khamis.
Bagaimanapun jelasnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, amalan tersebut tidak dapat diteruskan kerana dia mengalami keletihan dan hanya mampu menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan secara penuh.
"Walau macam mana sekalipun solat lima waktu jangan tinggal walaupun dengan cara duduk. Itu kewajipan kita, jika tidak boleh berdiri, kita duduk, jika tidak boleh duduk, kita baring, jika tidak boleh kita guna isyarat mata, itu wajib," katanya.
Jelas Pah lagi, selain itu mereka berdua juga mengamalkan pemakanan sihat seperti ulam-ulaman dan begitu menitikberatkan makanan yang berkhasiat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!