Lima agensi bergabung martabat seni khat

Pertandingan Seni Khat Remaja. (Gambar kecil, Wan Mohammad Afiq)
Pertandingan Seni Khat Remaja. (Gambar kecil, Wan Mohammad Afiq)
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Lima agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak bergabung dalam usaha memartabatkan khazanah seni khat dalam kalangan belia menerusi Pertandingan Seni Khat Remaja.

Naib Pengerusi (Remaja) Gerakan Belia 4B Perak, Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah berkata, pertandingan itu merupakan anjuran Gerakan Belia 4B Perak dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Pejabat Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak.

Menurutnya, program julung kali diadakan itu bertujuan menyemai minat terhadap seni Islam ini dalam kalangan remaja dan belia agar tidak pupus ditelan zaman.

"Idea untuk menganjurkan pertandingan ini tercetus sewaktu saya terjumpa artikel mengenai pemilik tulisan khat pada duit kertas Malaysia yang dikenali sebagai Haji Sulaiman Awang. Saya melakukan beberapa kajian berkenaan sejarah khat dan saya dapati seni khat ini adalah khazanah Islam tertua di dunia.

"Sebagai seorang belia, kita seharusnya mengangkat dan memartabatkan lagi seni khat ini supaya tidak ditelan zaman. Jadi saya mencadangkan penganjuran pertandingan seni khat remaja ini supaya lebih ramai belia meminati seni khat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Wan Mohammad Afiq berkata, penganjuran program ini juga akan memberi ruang kepada golongan remaja untuk lebih berdaya saing dalam mempelajari ilmu khat selain menarik minat segenap lapisan masyarakat untuk mempelajari seni kaligrafi islam itu.

Katanya, pertandingan tersebut telah pun bermula sehingga 27 September melibatkan tiga kategori utama iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka dengan usia peserta dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun.

Jelasnya, setiap kategori mempertaruhkan hadiah utama berupa wang tunai RM800 diikuti tempat kedua RM600 dan ketiga RM400 sementara tempat keempat sehingga ke-13 menerima RM150.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini dalam tempoh tiga hari sejak penyertaan dibuka, sebanyak 277 individu yang telah mendaftar dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang tarikh tutup penyertaan.

"Saya berharap pertandingan ini akan membuka mata belia-belia dan masyarakat di luar sana untuk menjaga serta mempelajari seni khat ini. Pada masa sama penghargaan juga harus diberikan kepada Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaarani dan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed yang memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program ini.

"Penganjuran program ini tidak akan terhenti di sini sahaja sebaliknya akan disusuli dengan program-program lain khususnya kepada golongan belia," katanya.

Menurutnya, Gerak Remaja dan Gerakan Belia 4B Perak merancang untuk mengadakan kesinambungan pertandingan berkenaan dengan mewujudkan kelas-kelas seni khat kepada remaja yang berminat untuk mempelajarinya.

Jelasnya, dalam masa sama ia akan menyantuni golongan remaja ini untuk mendekati Islam melalui aktiviti kesenian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!