40,000 kit ujian kendiri Covid-19 percuma bakal diedar
GEORGETOWN- Sebanyak 40,000 kit ujian kendiri Covid-19 percuma akan diedarkan secara berfasa bermula minggu hadapan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, golongan yang memerlukan kit ujian kendiri itu boleh mendapatkannya secara percuma di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat ahli Parlimen, pejabat senator, pejabat daerah dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Dalam pada itu, Kon Yeow mengesahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengadakan lawatan khas ke Pulau Pinang pada Sabtu.
"Sesi lawatan itu bakal memfokuskan kepada keperluan kelengkapan perubatan hospital serta pusat perubatan di negeri ini dalam menghadapi peningkatan kes harian kini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
"Selain sesi taklimat khas membabitkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Pulau Pinang, menteri juga akan melawat ke Hospital Pulau Pinang bagi meninjau situasi semasa.
"Saya juga telah memaklumkan kepada menteri mengenai keperluan senarai kelengkapan perubatan dan kepakaran yang memerlukan perhatian khas pihak kementerian dalam surat kepada beliau bertarikh 8 September," katanya.
Mengulas mengenai perkembangan sesi 'walk-in' menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Peringkat Negeri Pulau Pinang bermula Rabu, Kon Yeow berkata, seramai 2,481 individu telah hadir pada sesi tersebut.
"Sebanyak 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini menyediakan sesi 'walk-in'. Setakat Rabu, PPV Pusat Konvensyen Spice menerima kehadiran 327 individu, PPV Tapak Pesta Sungai Nibong (450), PPV Kompleks Sukan Balik Pulau (156), PPV SP Arena (238) dan PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya (290).
"Selain itu, PPV Vangohh Eminent (162), PPV Dewan Milenium (209), PPV Pusat Konvensyen Perda (397), PPV Dewan Serbaguna Jawi (152) dan PPV Dewan Sungai Bakap (100)," katanya.
Tambahnya, mereka yang layak diminta untuk hadir pada sesi berkaitan bagi membolehkan seluruh populasi dewasa di negeri ini menerima suntikan vaksin, sekali gus mencapai imuniti kelompok secara keseluruhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!