Parlimen tidak boleh jadi 'alat' mana-mana pihak: Rais

Rais- Foto Bernama
Rais- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parlimen perlu bebas daripada cengkaman mana-mana pihak selari dengan transfomasi yang sedang direncanakan, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata tumpuan agenda transformasi adalah kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 atau Akta 347 serta mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.

“Begitu jugalah halnya dalam soal kewangan dan pentadbiran kerana sudah tiba masanya Parlimen menentukan kaedah kewangan sendiri dan bagaimana ia hendak dibelanjakan juga adalah bidang kuasa sepenuhnya Parlimen,” katanya sempena majlis mengangkat sumpah jawatan enam Ahli Dewan Negara di bangunan Parlimen di sini, pada Khamis.

Beliau menjelaskan, Parlimen juga tidak boleh lagi dilabelkan sebagai alat mana-mana pihak untuk menghalalkan apa jua yang ingin dilakukan.

Justeru itu, katanya Dewan Negara dan Dewan Rakyat bersepakat untuk menambah baik struktur pentadbiran dan kerangka perundangan berkenaan dengan Parlimen agar konsep pengasingan kuasa benar-benar wujud sekali gus memastikan kewibawaannya dapat diperkasakan.

Rais menjelaskan, Peraturan-Peraturan Mesyuarat juga akan ditambah baik meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli dan memperkuatkan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas supaya mempunyai kuasa pelaksanaan.

Menurutnya, jika semua transformasi berkenaan dilunaskan, banyak hal dan muslihat yang tidak dapat dikawal akan dapat diatasi oleh Parlimen melalui kuasanya.

Enam senator yang mengangkat sumpah untuk lantikan selama tiga tahun sebelum itu ialah Dr Wan Martina Wan Yusoff, Datuk Ajis Sitin, Datuk Juhanis Abd Aziz, Aziz Ariffin, Seruandi Saad dan Fadhlina Sidek.

Artikel Berkaitan:

Dr Wan Martina merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang berkuat kuasa mulai 24 Ogos lepas hingga 23 Ogos 2024 manakala Ajis dan Juhanis adalah pilihan DUN Pahang yang berkuat kuasa pada 25 Ogos lepas hingga 24 Ogos 2024.

Aziz dan Seruandi pula dipilih DUN Perlis yang berkuat kuasa 26 Ogos lepas hingga 25 Ogos 2024, sementara Fadhlina merupakan pilihan DUN Pulau Pinang yang berkuat kuasa pada 1 September lepas hingga 31 Ogos 2024.

Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai senator buat kali pertama pada majlis yang berlangsung dalam keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!