Serpihan MH370 dipamerkan kepada awam

Bahagian flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis turut dipamerkan kepada orang ramai sempena Majlis Memperingati Tragedi MH370 di ruang legar Publika hari ini. Foto: Bernama
Bahagian flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis turut dipamerkan kepada orang ramai sempena Majlis Memperingati Tragedi MH370 di ruang legar Publika hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya, dua serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370, dipamerkan kepada orang ramai di pusat membeli-belah Publika di sini, hari ini.

Dua serpihan iaitu kelepak dan sayap berkenaan dipamerkan sempena ulang tahun kelima Memperingati MH370 selepas kehilangan tragis pesawat itu dari skrin radar, lima tahun yang lalu.

Sehingga sekarang, hanya tiga serpihan sayap yang dikenali sebagai flaperon, telah disahkan milik pesawat Penerbangan MH370 yang hilang secara misteri dari skrin radar, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 yang membawa 239 penumpang.

Walaupun pertama kali dua serpihan itu dipamerkan, sebahagian anggota keluarga mangsa tragedi itu ketika ditemui Bernama, kurang senang melihatnya kerana mereka percaya, operasi pencarian sebelum ini, seharusnya menemui lebih banyak atau serpihan yang lebih besar.

Seorang anggota keluarga nahas itu, Jacquita Gonzales, 56, berkata walaupun beliau gembira melihat dua serpihan itu, tetapi beliau percaya, pencarian tersebut mesti diteruskan kerana pesawat itu masih berada di luar sana.

“Kita tidak tahu di mana pesawat itu. Kita harus teruskan pencarian. Kita berharap kerajaan akan teruskan operasi mencari, atas dasar ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ (no cure no fee basis) jadi entiti pencarian bebas boleh memulakan usaha mereka terutama oleh Ocean Infinity Limited (syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat) ,” kata Jacquita, yang suaminya Patrick Gomes adalah penyelia Penerbangan MH370.

Sementara itu anggota keluarga lain, Norazlinda Ayub, 44, berkata ini adalah kali pertama beliau melihat serpihan itu dan sedikit terkejut kerana serpihan itu agak besar daripada apa yang beliau bayangkan.

“Seharusnya lebih banyak serpihan ditemui di luar sana. Saya berharap operasi mencari diteruskan,” katanya yang merupakan isteri kepada seorang penumpang, Junaidi Mohd Nasir.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi anggota keluarga, KS Narandran berkata kerajaan harus teruskan operasi mencari dan lihat kepada bukti yang boleh dipercayai untuk mencari jet penumpang Boeing 777 itu.

"Selepas lima tahun, pesawat itu masih belum lagi ditemui. Kita hanya menemui serpihan dari seluruh dunia. Sukar bagi saya untuk melupakannya.

“Kami tidak tahu tentang keupayaan kerajaan (untuk teruskan operasi ini) tetapi saya tahu mereka mempunyai tanggungjawab. Ia amat mengecewakan semua orang,” kata suami kepada Chandrika Sharma, seorang daripada lima penumpang warganegara India yang hilang dalam tragedi itu.

Sementara itu, Jiang Hui, yang ibunya Jiang Cuiyun, antara mangsa pesawat malang tersebut, telah mewujudkan laman web; MH370.com.cn dan www.malaysiaairlines.club untuk menggalakkan operasi mencari, siasatan, mengumpul maklumat dan berhubung dengan waris mangsa di seluruh dunia.

Misi pencarian di laut dalam digerakkan hampir tiga tahun bagi mengesan pesawat itu di Lautan Hindi, meliputi kawasan seluas 120,000 km persegi melibatkan pasukan dari Australia, China dan Malaysia, namun menemui jalan buntu.

Dilaporkan 27 serpihan pesawat ditemui dari pelbagai tempat seluruh dunia, namun hanya tiga serpihan sayap yang dikenali sebagai flaperon yang terdampar di pantai Lautan Hindi disahkan dari pesawat MH370.

Pada 29 Mei tahun lepas, syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang melancarkan operasi mencari MH370 yang terakhir di Lautan Hindi, menghentikan operasi itu selepas gagal menemui sebarang serpihan berkaitan pesawat itu.

Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 dalam laporan setebal 449 halaman menyimpulkan bahawa mereka gagal mengesahkan punca utama kejadian, namun tidak menolak kemungkinan ‘gangguan yang menyalahi undang-undang’ oleh pihak ketiga membawa kepada kehilangan pesawat berkenaan.

Pada 30 November tahun lepas, lima serpihan yang dipercayai bahagian-bahagian tertentu daripada pesawat MH370, yang ditemui di tiga lokasi di Madagascar, diserahkan kepada kerajaan Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!