Sindiket penipuan pakej telefon bimbit RM8.6 juta tumpas
JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan satu sindikit penipuan pembelian pakej talian dan telefon bimbit di sekitar negeri ini pada 1 September lalu membabitkan kerugian RM8.6 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi bermula jam 12.30 tengah hari sehingga jam 11.30 malam itu seramai 10 lelaki dan empat wanita tempatan merupakan ahli sindiket terbabit ditahan dan merampas 24 telefon bimbit serta 24 kad ATM.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati sindiket yang mula beroperasi sejak awal Januari lalu itu membuka akaun keldai bagi membuat pendaftaran pembelian pekej telekomunikasi berserta telefon bimbit.
"Ejen akan membawa 'keldai' ke syarikat telekomunikasi untuk daftar talian menggunakan dokumen yang disediakan sebelum telefon bimbit yang diterima selepas pendaftaran talian dilakukan akan diserahkan kepada ejen.
"Seterusnya, sindiket menggunakan nama pemilik 'keldai akaun' bagi mendaftarkan pakej talian yang turut menawarkan telefon bimbit. Setelah pendaftaran disahkan, sindiket akan membuat bayaran menggunakan kad kredit milik individu lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.
Menurut Ayob Khan, syarikat telekomunikasi menyedari mereka menjadi mangsa penipuan selepas pembayaran yang dibuat melalui kad kredit ditolak sewaktu pembayaran pembelian pakej dilakukan.
"Ini kali pertama Polis Johor menumpaskan sindiket pembelian pakej telefon bimbit dengan anggaran kerugian ditanggung oleh syarikat telekomunikasi sebanyak RM8.6 juta.
"Ketua sindiket Tan Boon Han, 38 dan dua lagi ahli sindiket yang masih bebas The Chin How, 36 dan Wong Kin An, 27 masih diburu," katanya.
Ayob Khan berkata kesemua individu yang ditahan itu telah direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah memberikan maklumat peribadi diri atau menjual maklumat diri kepada mana-mana individu yang tidak dikenali kerana bimbang ia akan disalahgunakan untuk melakukan jenayah penipuan.
"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat bersabit kes penipuan boleh disalurkan kepada pegawai risikan/operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Johor, Asisten Suprintendan Timmy Anak Aheng di talian 019-7773728 atau menerusi hotline JSJK di talian 013-2111222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!