Pemimpin politik berdepan cabaran tarik kepercayaan golongan muda
KOTA BHARU - Cabaran utama pemimpin politik masa kini ialah untuk menarik kembali kepercayaan dan keyakinan pengundi muda bagi menyokong kerajaan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia terutama membabitkan anak muda yang termakan dengan persepsi negatif terhadap kerajaan.
Beliau berkata, golongan muda kini sudah bosan dengan perangai ahli politik yang masing-masing tidak mempedulikan rakyat, sebaliknya hanya memperlihatkan perbuatan untuk berebut kuasa.
Oleh sebab itu, katanya, golongan berkenaan kecewa, sekali gus menjadi cabaran terbesar pemimpin masa kini untuk memperbetulkan kembali persepsi negatif tersebut.
“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, janganlah berpolitik. Ini tidak, asyik sibuk nak adakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menampakkan pemimpin sibuk mengejar kuasa.
“Ini sebenarnya yang akan menambah kebencian orang muda terhadap pemimpin politik. Kita kena buktikan kepada orang muda yang kita ada tanggungjawab.
"Laksanakan kerja sebaik mungkin, adakan program dan pendekatan supaya rakyat nampak kita mahu jaga mereka bersungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Suri Mithali di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai kabinet baharu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, setiap pemimpin yang dipilih perlu membuktikan kemampuan masing-masing.
“Kerajaan yang ada ini perlu buat kerja bersungguh-sungguh sebab masa yang ada tidak panjang. Buat sesuatu yang ada impak kepada masyarakat dengan jangka masa pendek ini sebab ia adalah satu permulaan.
"Jika kita dipilih sekali lagi untuk mengemudi kerajaan selepas ini, kita boleh meneruskan kerja seperti biasa berdasarkan apa yang sudah kita lakukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!