KKM setuju data, maklumat Covid-19 dapat diakses semua pihak
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan laman web baharu dikenali Covid Now yang boleh dilayari mulai jam 6 petang pada Khamis.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kewujudan laman web itu juga seiring dengan hasratnya untuk lebih telus dalam perkongsian maklumat.
Menurutnya, Malaysia antara negara terawal yang berkongsi data secara terbuka melalui GitHub, namun paparan data di GitHub itu dirasakan lebih sesuai untuk mereka yang mahir dengan sains data.
"Laman web ini akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat umum.
"Usaha membangunkan laman ini telah mengambil masa beberapa bulan dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan yang telah bekerja keras membangunkannya," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Khamis.
Ujarnya, orang ramai boleh mula layarinya bermula jam 6 petang Khamis di https://COVIDNOW.moh.gov.my dan data harian terkini akan tersedia di COVIDNOW selepas jam 12 malam.
Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, diharap dengan data dan maklumat yang dikongsikan di GitHub dan juga Covid Now, masyarakat akan mempunyai pemahaman dan kesedaran yang lebih baik berkenaan situasi jangkitan wabak itu di dalam negara.
"Selain itu juga, usaha untuk melakukan perubahan tingkah laku (behavioural change) dan usaha untuk mengamalkan SOP dapat dipertingkatkan supaya kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!