Anggota polis wanita cedera dilanggar remaja rempuh SJR

Anggota polis berpangkat Lans Koperal menunjukkan jari tangan yang cedera dalam kejadian itu.
Anggota polis berpangkat Lans Koperal menunjukkan jari tangan yang cedera dalam kejadian itu.
A
A
A

MELAKA - Seorang anggota polis wanita cedera selepas dirempuh seorang remaja yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) secara 'mobile' di Lebuh SPA berhampiran Stadium Hang Jebat pada Rabu.

Dalam kejadian jam 10 malam, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 27 tahun itu dirempuh remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal dari arah Durian Tunggal ke Rembia.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika itu, pihaknya sedang melakukan SJR bergerak, namun suspek yang bekerja sebagai tukang cuci kereta memecut laju hingga melanggar anggota polis terbabit.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu anggota polis berkenaan mengalami patah jari manis tangan kiri dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Suspek berjaya ditahan dan ditahan direman empat hari bermula Khamis sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 333 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan lanjut juga mendapati suspek yang memiliki lesen memandu bertindak melarikan diri kerana memiliki waran tangkap berkait Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!