Human Aid Selangor tawar Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas

Diana Amir bersama Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas Diana Amir.
Diana Amir bersama Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas Diana Amir.
A
A
A

SHAH ALAM - Human Aid Selangor (Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor) menawarkan 400 naskhah Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas Diana Amir dengan kerjasama selebriti, Diana Amir bagi meraih dana untuk Sekolah Pelangi Kasih, Selayang.

Timbalan Presidennya, Badariah Abdul Hamid berkata, al-Quran tersebut disusun khas bersama 319 tafsiran tematik yang akan menjadi rujukan dan bimbingan kepada pembaca.

Tambahnya, al-Quran itu juga tampil dengan kaligrafi khas yang dipersembahkan dengan pelbagai tema berdasarkan empat kategori utama seperti hukum, ibrah, wanita serta iman dan moral.

“Projek ini untuk menyokong pendidikan anak-anak yang kurang bernasib baik di Human Aid Selangor.

“Ia untuk mendekatkan lebih ramai Muslimah mendalami, mentafsir, melancarkan bacaan, bertadabbur dan memahami bait-bait kalamullah yang terpelihara kitabnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Badariah berkata, orang ramai boleh mendapatkan al-Quran berkenaan dengan harga RM220 menerusi aplikasi Shopee, Facebook dan Instagram.

Badariah Abdul Hamid
Badariah Abdul Hamid

Katanya, hasil keuntungan tersebut akan diberikan sepenuhnya kepada tabung pendidikan pelajar-pelajar Sekolah Pelangi Kasih.

Artikel Berkaitan:

“Sekolah ini yang dibina sejak 2015 lalu memberikan pendidikan kepada anak-anak pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim seramai 100 orang. Pendidikan dan makanan diberi secara percuma termasuk bantuan kepada keluarga pelajar yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Diana berkata, projek al-Quran tersebut dapat membantu kelangsungan program-program kebajikan di bawah Human Aid Selangor dalam tempoh pandemik Covid-19.

Jelas Diana, projek tersebut menarik minatnya untuk bekerjasama dengan pertubuhan itu memandangkan ia amat membantu khususnya Muslimah untuk lebih memahami dan mentadabbur kalam ALLAH.

“Saya boleh katakan bahawa al-Quran ini memang bagus dan saya suka. Malah, kakitangan saya pun minta dibelikan al-Quran ini. Ia juga mempunyai ciri tambahan lain yang sesuai untuk Muslimah,” ujarnya.

Projek al-Quran menawarkan Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas Diana Amir.
Projek al-Quran menawarkan Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas Diana Amir.

Mengulas lanjut, Diana berkata, dengan adanya kisah-kisah tokoh wanita di dalam al-Quran, ia lebih mudah dan dekat dengan hati wanita.

Katanya, al-Quran itu sesuai untuk dibawa ke mana-mana kerana saiznya yang lebih mesra dan boleh dijadikan sebagai hadiah kepada ibu, kakak serta adik-beradik perempuan agar mendapat manfaat daripadanya.

“Dengan pembelian al-Quran ini, kita juga boleh menderma kepada program-program kebajikan.

“Itu adalah sumbangan anda kepada Human Aid Selangor. Justeru, saya berharap dapatlah memberi sokongan sebagai tanda kita ambil peduli dengan kesusahan orang lain,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!