Dua lagi korban 9/11 dikenal pasti selepas 20 tahun

Gambar diambil kakitangan Perkhidmatan Rahsia AS ketika serangan ke atas WTC, New York pada 11 September 2001 yang tidak pernah didedahkan kepada umum. - Foto: Agensi
Gambar diambil kakitangan Perkhidmatan Rahsia AS ketika serangan ke atas WTC, New York pada 11 September 2001 yang tidak pernah didedahkan kepada umum. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW YORK - Penyiasat kota metropolitan New York, Amerika Syarikat (AS) mengenal pasti dua lagi identiti korban tragedi 9/11 menjelang ulang tahun ke-20 serangan menggemparkan itu pada Sabtu ini.

Ketua Pejabat Pemeriksa Perubatan (OCME), Barbara A Sampson memaklumkan mereka menggunakan analisis DNA untuk proses kenal pasti identiti Dorothy Morgan dan seorang lelaki yang namanya tidak didedahkan atas permintaan keluarganya.

Laporan itu menjadikan kedua-duanya menjadi mangsa ke-1,646 dan ke-1,647 yang berjaya dikenal pasti daripada 2,753 yang disahkan terkorban di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

"Kira-kira dua dekad lalu, kami telah berjanji kepada waris keluarga korban serangan WTC untuk melakukan segala termampu bagi mengenal pasti identiti insan tersayang mereka yang terbunuh.

"Kami telah menunaikan janji itu. Kami tidak akan pernah lupa, tidak kira berapa lama masa berlalu sejak insiden 11 September 2001. Kami berjanji menggunakan segala peralatan yang ada untuk memastikan mangsa yang 'hilang' dapat disatukan semula dengan keluarga mereka," jelasnya.

Difahamkan, Morgan dikenal pasti menerusi ujian DNA terhadap mayat yang ditemui pada 2001 manakala identiti lelaki tidak dinamakan itu diperoleh berdasarkan keputusan ujian terhadap mayat ditemui pada 2001, 2002 dan 2006.

Menurut OCME, proses pengenalpastian identiti baharu itu dibuat menggunakan teknologi penjujukan DNA generasi akan datang yang lebih sensitif dan pantas berbanding teknik DNA konvensional.

"Sains akan terus digunakan untuk mengenal pasti lebih banyak identiti. Komitmen pada hari ini masa sama seperti 20 tahun lalu," kata Penolong Pengarah Jabatan Biologi Forensik OCME dan Pengurus Pasukan Pusat Pengenalpastian DNA di WTC, Mark Desire. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info:

- Kira-kira 1,106 mayat korban tragedi 9/11 belum dikenal pasti secara rasmi.

- Ketika kejadian pada 11 September itu, dua pesawat merempuh WTC manakala pesawat ketiga dan keempat terhempas di Pentagon serta Pennsylvania.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!