Air singgey ‘penyelamat’ restoran yang hampir tutup

Pekerja Restoran Pondok Kebaboom sedang menyiapkan bungkusan air singgey sebelum dipasarkan.
Pekerja Restoran Pondok Kebaboom sedang menyiapkan bungkusan air singgey sebelum dipasarkan.
A
A
A

KOTA BHARU - Serangan 'ganas' pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu membuatkan perniagaan restoran yang diusahakan oleh sepasang suami isteri, Kamaruzaman Hussin, 42, dan Siti Nor Farah Abdul Dawari, 37, hampir ditutup.

Ia susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan penuh pergerakan yang memaksa premis perniagaan terpaksa 'berehat' panjang dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Memikirkan kelangsungan hidup keluarga perlu diteruskan dan nasib pekerja terbela, pasangan suami isteri yang merupakan pemilik Restoran Pondok Kebaboom, Pasir Tumboh, di sini mengambil 'risiko' dengan mengusahakan air singgey.

Air singgey merupakan minuman popular yang paling mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.

Malah restoran milik pasangan ini masyhur dengan minuman tersebut yang tidak dapat dijumpai di premis lain.

Percubaan berani pasangan suami isteri itu membawa tuah apabila air singgey menjadi 'penyelamat' perniagaan mereka apabila minuman itu 'meletup' sehingga mereka tidak menang tangan memenuhi permintaan para pelanggan.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka produk minuman berasaskan campuran serai, lemon, daun pudina, perisa dan pengawet yang dibenarkan itu mendapat permintaan luar biasa.

"Saya keluarkan 24 botol sebagai percubaan pada bulan Jun lalu, namun permintaan makin naik dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah setiap hari saya kini mampu mengeluarkan kira-kira 600 botol," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh dua bulan sebanyak 23,000 botol minuman itu telah berjaya dijual menerusi stokis dan agen bergerak di seluruh negara kecuali Perak, Melaka dan Sabah.

Katanya, dia bersyukur apabila air singgey bukan sahaja memberi rezeki kepada para pekerja namun orang lain yang terjejas dengan pandemik Covid-19 turut menerima tempiasnya.

Anak kelahiran Kampung Wakaf Stan itu berkata, setakat ini dia mempunyai 24 buah stokis dan 140 orang agen yang bertindak memasarkan air tersebut.

"Mungkin ini adalah rezeki yang ALLAH hendak kirimkan kepada saya dalam keadaan berbagai ujian yang terpaksa ditempuh sepanjang pandemik sebagai peniaga.

"Alhamdulillah hasil jualan air singgey ini saya dapat memanggil semula pekerja yang terpaksa bekerja bergilir-gilir sebelum ini untuk kembali bertugas," katanya.

Kamaruzaman berkata, dia berterima kasih kepada isterinya, Siti Nor Farah dan keluarga serta warga Pondok Kebaboom yang memberikan sokongan padu dalam menggerakan usaha menghasilkan air singgey ini.

"Air singgey ini saya hasilkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu dengan memasaknya pada suhu antara 80 hingga 90 darjah celcius bagi memastikan ia tahan lebih lama.

"Penangan air singgey ini cukup besar apabila saya telah berjaya membuka sebuah kilang kecil bagi menampung permintaan tinggi di pasaran ketika ini," katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh layari laman sosial Facebook rasmi minuman itu di I-Singgey HQ.

Percubaan berani pasangan suami isteri ini membawa tuah apabila air singgey menjadi 'penyelamat' perniagaan mereka apabila minuman itu 'meletup' sehingga mereka tidak menang tangan mememuhi permintaan para pelanggan.
Percubaan berani pasangan suami isteri ini membawa tuah apabila air singgey menjadi 'penyelamat' perniagaan mereka apabila minuman itu 'meletup' sehingga mereka tidak menang tangan mememuhi permintaan para pelanggan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!