Melaka menang anugerah 'Jean Paul L'allier Prize For Heritage'
MELAKA - Melaka menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memenangi anugerah khas, 'Jean Paul L'allier Prize For Heritage' anjuran Pertubuhan Bandar Warisan Dunia (OWHC) yang berpangkalan di Quebec, Kanada dalam satu majlis penyampaian hadiah secara dalam talian di sini pada Khamis malam.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, anugerah yang diberikan setiap dua tahun sekali itu dimenangi menerusi projek yang dilaksanakan iaitu Penambahbaikan dan Pemuliharaan Persekitaran di Bandaraya Melaka Bersejarah menerusi beberapa komponen projek bernilai RM10.4 juta yang telah dilaksanakan sejak tahun 2012 dan masih berterusan sehingga kini.
Beliau berkata, anugerah berkenaan yang turut dimenangi bersama Bandaraya George Town, Pulau Pinang bertujuan mengiktraf dan menghargai bandar yang telah menunjukkan usaha pemuliharaan harta warisan budaya dan akan menjadi rujukan serta pemangkin kepada masyarakat antarabangsa.
"Penganugerahan daripada OWHC ini membuktikan Melaka masih lagi kekal dalam senarai teratas dalam aspek bandaraya warisan dan faktor utama yang menyumbang kepada penganugerahan ini ialah pelaksanaan kerja-kerja memperindah dan menyediakan fasiliti dan infrastruktur di zon utama tapak warisan dunia antaranya aspek pencahayaan, mural, landskap dan perparitan.
"Komponen projek ini antaranya melibatkan penyediaan lebih banyak ruang terbuka untuk orang ramai dan laluan pejalan kaki sebagai perkongsian ruang dengan pengguna jalan selain menghubungkan lorong belakang sebagai laluan alternatif pejalan kaki," katanya kepada pemberita selepas pengumuman anugerah itu di Pejabat Datuk Bandar MBMB di sini lewat Khamis malam.
Zainal berkata, projek berkenaan dijalankan antaranya di Jalan Hang Jebat, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Lorong Hang Jebat, Jalan Kampung Pantai, Jalan Kampung Huli, Jalan Kuli, Jalan Tukang Emas dan Jalan Tokong.
Projek itu juga jelasnya, menjadi model bagi MBMB menyediakan perancangan terperinci untuk kawasan tapak warisan dunia, menyusun rancangan peningkatan dan secara tidak langsung menjalinkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri, majlis bandaraya, agensi negeri serta masyarakat setempat untuk bekerjasama dalam meningkatkan imej bandar warisan tanpa menjejaskan tempat berkenaan.
Untuk rekod anugerah khas 'Jean Paul L'allier Prize For Heritage' disertai 11 bandar dunia iaitu Cidade Velha (Cape Verde), Cuenca (Ecuador), George Town (Malaysia), Hue (Vietnam), Krakow (Poland), Kutna Hora (Republik Czech), Luxembourg (Luxembourg), Melaka (Malaysia), Mexico City (Mexico), Queretaro (Mexico) dan Safranbolu (Turki). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!