'Saya datang bukan untuk makan angin' - Ronaldo
PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo menegaskan kepulangannya ke Old Trafford kali ini bukan bagi tujuan bercuti dan berharap dapat membuktikan kemampuan dirinya sekali lagi menerusi aksi yang konsisten.
Menurut penyerang berusia 36 tahun itu, dia mahu mengulangi pencapaian cemerlangnya dengan Manchester United, sebagaimana yang pernah dilakukannya pada musim 2003 hingga 2009 lalu.
“Itulah sebabnya mengapa saya di sini hari ini. Saya bukan datang untuk bercuti. Saya pernah menyarung jersi United beberapa tahun lalu dengan memenangi beberapa piala. Ia ternyata detik yang cukup istimewa.
“Kini, saya di sini lagi. Saya masih berkemampuan dan kami semua telah bersedia. Lagi pun, ini adalah peluang terbaik saya, penyokong dan juga kelab untuk melakar kejayaan dan mara setapak ke hadapan.
“Oleh itu, saya rasa saya ia akan menjadi satu perkara atau sasaran terbesar saya untuk tiga atau empat tahun akan datang,” katanya.
Untuk rekod, selama beraksi di Old Trafford, Ronaldo telah membantu skuad The Red Devils itu memenangi lapan trofi utama sebelum menyertai Real Madrid dan Juventus.
Ronaldo juga telah menjaringkan 118 gol untuk United dan berpeluang untuk memulakan kembali koleksi jaringannya di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berdepan Newcastle pada Sabtu.
Sementara itu, Ronaldo mengakui gembira apabila diberikan kepercayaan menggunakan jersi nombor tujuh United bagi mengharungi saingan EPL kali ini.
Malah, Ronaldo berkata, dia cukup teruja dengan perkara berkenaan dan tidak sabar untuk menggunakannya pada perlawanan.
“Saya terharu kerana mendapat kepercayaan untuk menyarung jersi dengan nombor tujuh sekali lagi. Ia turut meningkatkan semangat saya untuk mengulangi kecemerlangan seperti dahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!