Khazanah raih RM664.5 juta hasil penempatan saham CIMB Group

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berjaya memuktamadkan penempatan 138.4 juta saham dalam CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) pada harga RM4.80 sesaham, sekali gus meraih kira-kira RM664.5 juta.

Harga penempatan itu mewakili 2.8 peratus diskaun pada harga penutup pasaran CIMB Group iaitu RM4.94 yang dicatatkan pada 8 September 2021.

"Urus niaga penempatan saham berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Khazanah untuk mengimbangi semula portfolionya serta mengitar semula pelaburannya ke dalam aset baharu di Malaysia dan di peringkat global, termasuk pelaburan baharu bawah Dana Impak," kata Khazanah dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sejajar dengan objektif inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) yang digariskan oleh kerajaan, Dana Impak bertujuan memangkin bidang pertumbuhan baharu, membangun daya saing ekonomi Malaysia serta meningkatkan daya tahan sambil memacu hasil sosioekonomi utama negara.

Lanjutan daripada penempatan itu, Khazanah masih kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam CIMB dengan pegangan 25.6 peratus.

Penempatan itu menyaksikan saham-saham tersebut diagihkan kepada beberapa dana berkaitan kerajaan, pelabur institusi jangka panjang domestik dan asing, pemegang saham sedia ada serta beberapa dana lain

CIMB dan Credit Suisse merupakan pengatur bersama urus niaga penempatan saham berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!