BNM tidak akan ketatkan dasar monetari buat masa ini

No Image Caption
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) tidak akan tergesa-gesa dalam mengetatkan dasar monetarinya memandangkan jalan menuju pemulihan agak tidak pasti setakat ini, terutama dengan semakan menurun unjuran pertumbuhan ekonomi 2021 kepada antara tiga peratus hingga empat peratus baru-baru ini.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia sebelum ini diunjurkan antara enam peratus dan 7.5 peratus pada tahun 2021.

CGS-CIMB Securities (CGS-CIMB) dalam nota penyelidikannya berkata, ia menjangkakan dasar monetari kembali normal hanya akan bermula pada separuh kedua tahun 2022 berdasarkan jangkaan dua suku keuntungan ekonomi yang berurutan selepas semua negeri memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara menjelang suku keempat 2021.

Pada hari Khamis, BNM mengumumkan ia telah mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus, sejajar dengan jangkaan pasaran.

"Pembukaan semula ekonomi secara berperingkat berserta sokongan fiskal dan kewangan yang berterusan, menunjukkan OPR kemungkinan besar akan kekal pada tahap semasa hingga akhir tahun," kata CGS-CIMB sambil menambah mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang terakhir untuk tahun ini djadualkan pada 2 hingga 3 November ini.

Sementara itu, ahli ekonomi Moody's Analytics, Denise Cheok berkata, inflasi teras dijangka kekal lemah kerana perbelanjaan pengguna yang berkurangan, menyebabkan bank pusat mengekalkan kadar yang rendah hingga tahun 2022.

"Ini sangat penting kerana negara sudah kehabisan ruang fiskal. Malaysia dengan cepat mencapai had hutang statutori 60 peratus daripada KDNK dan kerajaan baharu telah mencadangkan agar had ini dinaikkan menjadi 65 peratus untuk membolehkan perbelanjaan seterusnya dilakukan,” tambah beliau.

Walaupun had hutang statutori yang lebih tinggi akan memberikan sedikit kelegaan dalam jangka pendek, Cheok menyatakan pakej fiskal tambahan mungkin berkurangan daripada yang diumumkan tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Prospek pasaran tenaga kerja yang lemah akan menyebabkan pengguna kurang berbelanja walaupun kita mungkin menyaksikan beberapa peningkatan kembali menjelang awal tahun depan.

"Dalam pada itu, dasar monetari dijangka kekal akomodatif sementara ekonomi secara bertahap bergerak maju," tambah beliau.

Public Investment Bank pula berkata, momentum ekonomi dijangka mendapat lebih banyak daya tarikan pada separuh kedua tahun 2021.

Sentimen keseluruhan juga akan didorong oleh pemberian vaksinasi Covid-19 yang pesat, dengan negara berada di landasan menuju peralihan menuju pembukaan ekonomi penuh pada awal suku keempat, tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!