Kini dikenali sebagai Dong Maeng
SEOUL - KOREA SELATAN. Pasukan gabungan tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) akan menggantikan latihan ketenteraan besar-besaran mereka dengan 'Dong Maeng' yang akan bermula 4 hingga 12 Mac ini.
"Latihan Dong Maeng selama sembilan hari tersebut adalah pasca gabungan yang menyoroti perkongsian dan persahabatan antara kedua-dua negara serta komitmen mereka untuk mempertahankan Korea Selatan dan kestabilan serantau," kata Perintah Pasukan Gabungan dalam satu kenyataan, semalam.
Dong Maeng yang bermaksud perikatan telah diubah suai latihan Key Resolve dan Foal Eagle akan memberi tumpuan kepada aspek strategi, operasi dan taktikal operasi ketenteraan umum di Semenanjung Korea.
Jelasnya, latihan Dong Maeng memberi kami peluang untuk berlatih bersama.
"Adalah penting bagi tentera profesional untuk melatih dan mengekalkan standard kesediaan. Latihan ini penting untuk mengekalkan dan mengukuhkan pakatan," kata Jeneral Park Han-ki dan Komander Pasukan Perintah Bersama, Robert Abrams.
Pengumuman itu dibuat selepas Pemangku Setiausaha Pertahanan AS, Patrick Shanahan dan rakan sejawatannya dari Seoul, Jeong Kyeong-doo mahu menyesuaikan latihan perang Key Resolve dan Foal Eagle untuk mengurangkan ketegangan dan menyokong usaha diplomatik bagi mencapai langkah nyahnuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea.
Sebelum ini, latihan ketenteraan tersebut sering dikecam Korea Utara malah Presiden AS, Donald Trump juga mengkritik latihan tersebut kerana menelan belanja yang besar serta disifatkan sebagai tindakan provokatif.
Keputusan itu juga dibuat beberapa hari selepas sidang kemuncak kedua antara Trump dan pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un yang berakhir tanpa perjanjian rasmi .
Terdapat hampir 30,000 tentera AS ditempatkan di Korea Selatan dan latihan ketenteraan tahunan mereka disertai kira-kira 200,000 anggota pasukan di Seoul. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!