Sittah Annur dibebaskan dengan jaminan polis
KUALA LUMPUR - Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang digelar Sittah Annur oleh pengikutnya dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman terhadapnya tamat pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, wanita berusia 39 tahun itu dibebaskan sementara menunggu proses siasatan dilengkapkan.
"Tempoh reman tidak disambung, jadi kita bagi jamin dahulu sementara menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sementara itu, Basri berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu lain yang mempunyai kaitan dengan ajaran tersebut.
"Buat masa ini kita masih cuba mengenal pasti mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan ajaran tersebut. Jika ada, mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan berkenaan seorang wanita yang dipercayai pemilik akaun Facebook Masitah Ab Jalar atau lebih dikenali sebagai Sittah Annur ditahan berhubung penglibatannya dalam ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).
Suspek ditangkap sekitar jam 1.10 pagi pada Sabtu dan direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Media.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!