Kesihatan mental petugas kesihatan perlu diutamakan di Parlimen

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu kesihatan mental petugas kesihatan perlu menjadi perkara utama yang disentuh sewaktu sidang Parlimen yang akan bermula 13 September depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan memberi fokus aspek pengurusan, persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan kakitangan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan dengan lebih berkesan.

"Saya meneliti laporan mengenai luahan para petugas kesihatan yang mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang bertugas memerangi wabak.

"Pengorbanan mereka tanpa henti wajar mendapat pembelaan dan perhatian.

"Saya melihat keperluan untuk mempunyai pendekatan memerangi Covid-19 tidak hanya dalam strategi mengawal penularan, tapi harus termasuk tahap emosi dan kesihatan mental para petugas kesihatan. Ini harus diambil kira oleh Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) yang baharu, katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Pada Rabu, akhbar tempatan melaporkan lebih 70,000 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan pelbagai gangguan emosi seperti stres, kemurungan dan kecelaruan, serta kelesuan melampau selepas 20 bulan melawan pandemik Covid-19 secara berterusan.

Menurut laporan tersebut, terdapat kakitangan kesihatan mengaku menangis setiap hari selama sebulan apabila pulang ke rumah, stres, berasa tidak berguna kerana tidak dapat menyelamatkan pesakit, selain kemanusiaan diri tercabar apabila terpaksa memilih pesakit yang perlu 'dilepaskan' setiap hari.

Segelintir daripada mereka juga memulakan tabiat yang tidak sihat seperti merokok dan mengambil kopi berlebihan untuk mendepani kelesuan melampau atau 'burnout' berikutan peningkatan beban tugas akibat pandemik Covid-19. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!