Gaduh: 8 termasuk seorang wanita ditahan
A
A
A
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian 2.45 pagi itu, polis menerima maklumat berhubung pergaduhan membabitkan dua kumpulan di kawasan berkenaan.
"Anggota polis yang kebetulan sedang membuat rondaan di situ cuba meleraikan pergaduhan itu, namun mereka bertindak lebih agresif sebelum sepasukan polis tiba dan berjaya menahan lapan individu berkenaan.
"Ketika anggota polis cuba menahan seorang daripada mereka, berlaku pergelutan dan suspek turut bertindak memaki hamun polis ketika dia cuba meloloskan diri tetapi tindakan pantas kita berjaya menahan lelaki itu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata lapan individu berusia 22 hingga 41 tahun itu direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata, polis menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 32 tahun yang dipercayai anggota ‘Geng Timun’ yang aktif mencuri motosikal, dalam dua serbuan di Kampung Tok Konan, Machang Bubok di sini semalam.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di kampung itu, polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai komponen motosikal yang mereka curi serta telah dileraikan di situ.
"Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah tidak jauh dari lokasi pertama dan menahan seorang lagi lelaki serta merampas pelbagai jenis enjin motosikal yang dicuri geng itu sebelum dijual semula kepada mat rempit dengan harga murah," katanya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan geng itu terlibat dalam kegiatan curi motosikal sekitar SPT dan Kulim, Kedah sejak tahun lepas dan polis percaya mereka terlibat sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal di daerah ini sejak Januari.
"Ketiga-tiga lelaki yang positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau itu direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!