Akses pendidikan di Afghanistan cetus kebimbangan
KUALA LUMPUR - Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani berkata akses terhadap pendidikan di Afghanistan menjadi tumpuan utama Qatar dalam usaha menyokong golongan muda di negara itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan International Day to Protect Education from Attack Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertemakan 'Protect Education for Sustainable Peace' yang diadakan secara maya pada Khamis.
Sheikh Mohammed berkata, Qatar terus bekerjasama dengan sekutu antarabangsa bagi melindungi orang awam di Afghanistan serta menyediakan laluan keluar yang selamat untuk ke Doha dan selainnya.
"Seramai 111 pelajar perempuan Afghanistan yang mengikuti pengajian di Kabul di bawah tajaan Qatar boleh ke Doha.
"Anggota pasukan robotik Afghanistan juga berada di Qatar. Mereka diterbangkan dari Kabul ke Doha dengan bantuan Qatar. Mereka akan diberi peluang melanjutkan pengajian dalam reka cipta robotik,” katanya.
Terdapat kebimbangan mengenai hak rakyat Afghanistan, termasuk akses kepada pendidikan sejak kembalinya Taliban selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat pada Ogos.
Ketika pemerintahan Taliban pada 1996 hingga 2001, wanita dan remaja dilarang melakukan banyak perkara, termasuk bekerja dan ke sekolah.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, António Guterres dalam majlis yang sama menggesa semua pihak menyokong Deklarasi Sekolah Selamat (Safe Schools Declaration) sempena sambutan Hari Antarabangsa itu pada Khamis.
Guterres mengesahkan sebanyak 111 negara telah menyokong deklarasi tersebut yang turut menggariskan langkah perlu diambil kerajaan bagi melindungi sekolah dan pembelajaran.
Beliau berkata, antara 2015 hingga 2020, gabungan global melindungi pendidikan daripada serangan melaporkan lebih 13,000 serangan yang dilakukan ke atas institusi pendidikan atau penggunaan kemudahan pendidikan untuk kegunaan ketenteraan.
"Ancaman ini tidak berkurang, dan peristiwa mengerikan di Afghanistan menjadi bukti. Ini bukan sekadar angka, tetapi melibatkan masa depan beribu-ribu individu, suatu kerugian yang sukar dihitung.
Guterres menggesa sokongan global terhadap kerja-kerja dilakukan bahagian pendidikan di bawah agensi UNICEF, yang bertungkus lumus bekerja untuk melindungi sektor pendidikan, pelajar, guru dan sekolah di beberapa kawasan berbahaya seluruh dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!