Pakistan sedia wujudkan koridor darat hantar bantuan ke Afghanistan
NEW YORK - Pakistan bersedia mewujudkan koridor darat yang akan membantu masyarakat antarabangsa menghantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan, kata wakil tetap Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Munir Akram.
"Kami juga akan menghantar bekalan ke Afghanistan melalui laluan darat,” kata Akram pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, Khamis lapor Sputnik.
Pakistan juga bekerjasama dengan PBB untuk penghantaran bekalan bantuan ke Afghanistan menerusi laluan udara.
Tiga penerbangan dijadualkan mengangkut makanan dan ubat-ubatan dengan yang pertama tiba di Kabul pada Rabu.
Akram turut menggesa masyarakat antarabangsa membantu daripada segi bantuan kewangan yang mencukupi.
Pada Selasa, Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan pihaknya memerlukan AS$606 juta untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan sepanjang 2021.
Pada mesyuarat itu juga Pengarah Program Pembangunan PBB (UNDP) Asia-Pasifik Kanni Wignaraja berkata Afghanistan dijangka mengalami kemiskinan sejagat pada pertengahan 2022 berikutan bencana kemanusiaan dan pembangunan di negara itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!