Kerajaan kemuka 7 tawaran transformasi Parlimen, pentadbiran

Ismail Sabri- Foto fail Bernama
Ismail Sabri- Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengemukakan tujuh tawaran untuk mewujudkan landskap politik baharu bagi melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya, memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tawaran itu meliputi Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen dan pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat serta pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Selain itu, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang, setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama, ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberi pandangan dan cadangan penambahbaikan dan Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Jelas Ismail Sabri, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat selaras dengan usaha untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Ini selaras dengan titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

"Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, serta budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

Ujarnya, ia juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!