Bakat, kemahiran tepat perlu untuk pemulihan pandemik
KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan bakat yang tepat bagi tujuan pemulihan daripada pandemik Covid-19 dan industri perlu menerapkan strategi baharu dalam penggunaan teknologi baharu untuk terus berdaya saing dengan rantaian global, kata Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 45 peratus bakat atau pekerja berkemahiran tinggi supaya mampu bersaing dengan negara terkemuka di dunia dalam pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Negara menghadapi kebimbangan ketara berikutan kekurangan pekerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan industri terutama dalam teknologi baharu dan teknologi baru muncul.
“Oleh itu, adalah penting bagi teknologis, juruteknik, saintis dan penyelidik untuk menjadi ‘key players’ dalam pembangunan tenaga dan kepakaran bagi meningkatkan kemahiran, produktiviti dan daya saing negara melalui sains dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada webinar Lembaga Teknologis Malaysia bertajuk ‘Accelerating Nation's High Skilled Talent’ pada Jumaat bertujuan menekankan kepentingan meningkatkan bakat berkemahiran tinggi dalam negara dan kepentingannya kepada pembangunan Malaysia.
Dr Adham turut melahirkan komitmen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk memperjuangkan kemajuan ekonomi inovasi kerana sains, teknologi dan inovasi tidak bermakna tanpa sumbangan kepada sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, sehingga suku kedua 2021, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan industri negara kini didominasi oleh 62.2 peratus pekerja separa mahir, 24.7 peratus pekerja mahir dan 13.1 peratus pekerja berkemahiran rendah.
Luxembourg dengan 59.5 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi menduduki tangga paling atas senarai negara terkemuka di dunia bagi pekerjaan itu diikuti Singapura dengan 54.7 peratus, Switzerland (51.3 peratus) dan Amerika Syarikat dengan kira-kira 42.2 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!