Lebih 100,000 rakyat Thailand hilang kerja akibat Covid-19
HATYAI - Lebih 100,000 orang di lima wilayah di selatan Thailand kehilangan pekerjaan, termasuk 70,000 warga tempatan yang pulang dari Malaysia berikutan penutupan sempadan kedua-dua negara akibat penularan Covid-19.
Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Somkiat Polprayoon berkata, jumlah itu termasuk mereka yang terlibat dalam perniagaan dan industri pelancongan di selatan Thailand seperti pemandu van pelancong dan tuk-tuk, tukang urut serta pekerja di restoran dan kedai makan.
“Ekonomi Thailand yang bergantung kepada pelancong asing terjejas teruk sejak negara itu dilanda pandemik COVID-19 khususnya apabila sempadan negara ditutup untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Selain itu, pelaksanaan perintah berkurung dan langkah-langah pencegahan seperti penutupan premis dan perniagaan seperti tempat hiburan, pawagam, taman awam, zoo, muzium dan klinik kecantikan turut menyebabkan pekerja tempatan kehilangan pekerjaan.
Thailand kini berdepan gelombang ketiga Covid-19 sejak April lalu menyaksikan kes di negara ini mencecah 1.35 juta kes dan 13,920 kematian.
Usaha sedang dibuat untuk membantu mereka mendapat peluang pekerjaan termasuk di Malaysia.
Somkiat berkata, SBPAC akan bekerjasama dengan Kementerian Buruh, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Thailand untuk mengenal pasti mereka yang sesuai dan mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian untuk bekerja di Malaysia.
“Berdasarkan cadangan awal, 400 pekerja Thailand akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Thailand ke Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon berkata, pihak konsulat dan SBPAC sedang berusaha untuk membantu pekerja Thailand masuk semula ke Malaysia secara sah untuk bekerja di syarikat kelapa sawit.
“Kumpulan pekerja yang bakal masuk ke Malaysia berusia 21 hingga 45 tahun dan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19. Kami sedang menunggu kebenaran daripada pihak Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thai-ASEAN, Rachen Attamart berkata, lebih 90 peratus hotel di Songkhla terpaksa tutup sementara berikutan ketiadaan pelancong asing.
Beliau merangkap ketua pegawai eksekutif Jannaty Hotel Hatyai di Songkhla berkata, sejak Jun tahun ini, terdapat beberapa hotel telah diubah suai menjadi pusat kuarantin untuk rakyat Thailand yang pulang dari luar negara.
Selain itu, beliau berkata, terdapat hotel yang dijadikan tempat penginapan pekerja-pekerja kilang di bawah inisiatif ‘gelembung dan tutup’ dengan pekerja kilang yang negatif virus itu perlu menginap di hotel sehingga keadaan Covid-19 reda.
“Selagi pintu sempadan tidak dibuka dan tiada pelancong asing, kehidupan penduduk tempatan akan terjejas khususnya mereka yang terlibat dalam industri pelancongan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!