MPPD sasar kedatangan sejuta pelancong ke Port Dickson

Warga Negeri Sembilan dilihat mengunjungi sebuah gerai cenderahati dan pakaian mandi yang dibuka kepada orang ramai selepas aktiviti di pantai peranginan dibenarkan semasa Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Dataran Pantai Telok Kemang, pada Jumaat. - Foto Bernama
Warga Negeri Sembilan dilihat mengunjungi sebuah gerai cenderahati dan pakaian mandi yang dibuka kepada orang ramai selepas aktiviti di pantai peranginan dibenarkan semasa Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Dataran Pantai Telok Kemang, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyasarkan kedatangan sejuta pelancong ke daerah ini menjelang akhir tahun 2021 susulan Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam waktu terdekat.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan kedatangan pelancong sekitar Negeri Sembilan semakin meningkat dengan Port Dickson merekodkan kira-kira 150,000 pengunjung selepas sektor pelancongan mula dibuka semasa Fasa Tiga PPN pada 4 September lepas.

Beliau berkata, jumlah pengunjung dijangka terus meningkat apabila kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri tidak lama lagi memandangkan Port Dickson sememangnya menjadi tumpuan pelancong sebelum ini.

"Oleh itu, kita sudah melakukan segala persediaan bagi pembukaan semula operasi sektor pelancongan kepada pelancong domestik termasuk membaik pulih dan menaik taraf premis kawasan pelancongan di sini.

"Prasarana dan infrastruktur yang bakal siap akhir tahun nanti juga akan memberi lebih kemudahan serta keselesaan kepada pengunjung selain memastikan Port Dickson kembali dikunjungi orang ramai," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke projek pelancongan di sini pada Jumaat.

Mohd Zamri berkata, kerja naik taraf itu membabitkan pembinaan pusat penempatan semula penjaja di Pantai Bagan Pinang, Taman Sunggala Hartamas dan Pusat Perniagaan Lukut Utama selain membina kios baharu serta pembinaan arca di Pantai Saujana.

Beliau berkata, infrastruktur di Dataran Telok Kemang turut ditambah baik dengan membina diod pemancar cahaya papan iklan sebagai hebahan kepada masyarakat selain memberi ‘nafas baharu’ kepada Port Dickson untuk kembali menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negeri.

Katanya, pemantauan dan pengawasan di setiap lokasi tumpuan sentiasa dilakukan bagi memastikan orang ramai menjaga prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!