Aguero tidak menyesal pilih Barcelona
TONGGAK Argentina, Sergio Aguero mengakui tidak menyesal menyertai Barcelona walaupun rakan rapatnya, Lionel Messi meninggalkan Blaugrana pada musim jendela perpindahan sama.
Sebaliknya, pemain berusia 33 tahun itu yang hadir ke Camp Nou dengan status perpindahan percuma dari juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City menjelaskan dia gembira dengan keputusan tersebut, walaupun terpaksa menerima permotongan pendapatan.
"Tiada sebarang keraguan untuk jiwa saya bersama Barca, cumanya saya dan pemain-pemain lain menerima secara terbuka permotongan gaji demi kelangsungan kelab ini pada masa depan.
"Sejujur semasa berunding kontrak dengan pengurusan Barca, saya juga telah dimaklumkan mengenai masalah kewangan dihadapi kelab ketika ini.
"Saya memaklumkan kepada ejen bahawa saya tidak terlalu memikirkan soal gaji, kerana yang lebih penting dapat beraksi di Camp Nou, biarpun pendapatan diperolehi tidak sama ketika bersama Manchester City sebelum ini," katanya.
Pada masa sama, Aguero mengakui bercakap isu tersebut dengan Messi, namun menafikan laporan media bahawa dia menetapkan klausa di dalam kontraknya yang membenarkan dia meninggalkan kelab kendalian Ronald Koeman itu sekiranya kapten Argentina tersebut keluar dari Camp Nou.
"Messi ada memaklumkan semasa di kejuaraan Copa America bahawa isu dia dan Barca telah dimuktamadkan, itu sahaja.
"Namun selepas kami kembali ke Nou Camp, Messi memaklumkan Barca sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu tersebut, namun akhirnya saya sama seperti semua terkejut dengan situasi yang berlaku.
"Seseorang telah mereka-reka cerita yang saya memiliki klausa yang membenarkan saya meninggalkan Barca sekiranya Messi keluar dari Barcelona.
"Namun sebenarnya yang berlaku adalah saya mengalami kecederaan menjelang beberapa hari sebelum penampilan bersama Barcelona, dan pada ketika Messi sudah pun keluar dari Camp Nou," ujar Aguero
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!