Masjid Putra jelas dakwaan layanan dua darjat
PUTRAJAYA - Pengurusan Masjid Putra tampil memberi penjelasan berhubung penularan satu video di laman sosial kononnya mendakwa mereka memberi layanan berbeza kepada jemaah yang hadir bagi mengikuti solat Jumaat.
Pengurusan Masjid Putra dalam satu kenyataan berkata, kehadiran jemaah untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di masjid itu adalah masih mengikut garis panduan dan ketetapan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu dengan kapasiti 300 orang.
Menurut kenyataan itu, daripada jumlah itu, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota buat jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dengan turut memaklumkan jangkaan waktu ketibaan mereka.
"Ini adalah bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota ditetapkan," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Satu video tular di laman sosial sejak Jumaat memaparkan ketidakpuasan hati sebilangan jemaah terhadap pengurusan masjid itu yang dilihat memberi layanan berbeza kepada mereka sewaktu ingin menunaikan solat Jumaat.
Menerusi perkongsian video berdurasi 51 saat itu, pengurusan masjid dilihat menutup pintu pagar dan hanya membenarkan jemaah tertentu memasuki ruang rumah ibadah terbabit.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, saban minggu Masjid Putra sememangnya menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti ditetapkan sejak jam 11 pagi lagi bagi menunaikan solat Jumaat.
"Apabila kapasiti jemaah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid dan menyebabkan ada jemaah yang hadir tidak dapat memasuki masjid.
"Pihak masjid juga telah memaklumkan dan menasihati para jemaah secara baik mengenai perkara itu," katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan terbaik selepas ini kepada jemaah mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kedudukan.
Tambah kenyataan itu, pihak pengurusan masjid bersedia untuk mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan setiap pihak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.
"Pihak Masjid Putra memohon kemaafan dan kekhilafan yang berlaku dalam hal ini," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!