Transformasi Parlimen permulaan baik: Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Ismail Sabri.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Ismail Sabri.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan yang ditawarkan adalah satu permulaan yang baik selepas peralihan Perdana Menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ia susulan pertemuan beliau dan pimpinan PH bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Ogos lalu.

"Saya mengalukan kenyataan Perdana Menteri semalam terkait ikhtiar kerajaan melaksana sejumlah penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

"Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan," katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau pada Sabtu.

Kerajaan pada Jumaat mengemukakan tujuh tawaran untuk mewujudkan landskap politik baharu bagi melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Ismail Sabri berkata, tawaran itu membabitkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat serta pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Kerajaan juga menawarkan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang dan setiap RUU termasuk RUU Perbekalan dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Ahli parti pembangkang juga akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan serta Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, PH turut mengusulkan kepada kerajaan tentang peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.

Menurut beliau, keutamaan PH semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40 dan kebebasan institusi kehakiman.

Sementara itu, katanya, mengenai isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, PH melihat bahawa masih wujud keperluan ia diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini.

Tegasnya, ia berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.

"Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak eksekutif. Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!