Terjaga bunyi percikan api
KUANTAN - Lima premis perniagaan musnah dalam satu kebakaran di Jalan Padang Lalang pada awal pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.40 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran membabitkan lima premis perniagaan itu berjaya dikawal dalam tempoh 45 minit.
"Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran melibatkan antaranya bengkel kereta, kedai kimpalan dan pakaian terpakai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, operasi itu melibatkan 30 pegawai serta anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan Gebeng.
Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, saksi kejadian yang ingin dikenali sebagai Soon, 44, berkata, bunyi seakan-akan percikan api telah mengejutkannya yang sedang tidur sebelum melihat kebakaran berlaku melibatkan deretan kedai terletak di sebelah rumahnya.
"Saya terus menghubungi bomba sebelum menelefon pemilik kedai yang lain dan memaklumkan kejadian itu... api marak sangat cepat, mujur tiada orang di dalam bengkel tersebut," katanya yang menetap di kawasan itu sejak 30 tahun lepas.
Pemilik bengkel kereta,Chin Kok Wooi, 62, pula berkata, empat buah kereta pelanggan yang berada di dalam premis itu telah musnah.
Dia yang telah mengusahakan bengkel itu lebih 40 tahun berkata, Soon menghubunginya kira-kira jam 4 pagi memaklumkan mengenai kebakaran terbabit.
"Saya bergegas ke bengkel tetapi apabila sampai semuanya sudah habis terbakar. Saya pasrah dengan apa yang berlaku," katanya.
Kok Wooi mengakui tidak menjangkakan insiden berkenaan menimpa dirinya dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan sama ada ia melibatkan perbuatan khianat atau sebaliknya.
Ditanya mengenai anggaran kerugian yang dihadapi, Kok Wooi bagaimanapun masih belum dapat menjangkakan jumlah kerugian sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!