21 ditahan merusuh di Depoh Tahanan Imigresen
KOTA KINABALU - Polis menahan 21 tahanan yang dikenal pasti terlibat dalam rusuhan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal di sini pada malam Jumaat.
Semua individu warga Filipina berusia antara 19 hingga 51 tahun itu ditahan pada jam 7.50 malam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tangkapan terbabit susulan laporan daripada DTI Manggatal yang memaklumkan berlaku rusuhan dan memerlukan bantuan daripada pihak polis pada jam 7.05 pagi.
Menurutnya, dengan bantuan pihak polis kejadian itu berjaya dikawal dan hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan 21 tahanan dipercayai terlibat dalam rusuhan itu.
"Tahanan yang melibatkan 14 lelaki dan tujuh wanita dibawa balik ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sebelum itu, Mohd Zaidi memaklumkan pihaknya bersama Timbalan Pengarah Imigresen (Operasi) Negeri Sabah telah mengadakan pertemuan dengan wakil tahanan berkenaan.
"Dalam pertemuan itu, tahanan diberi nasihat supaya mematuhi semua peraturan di pusat tahanan, menggunakan saluran yang ada untuk menyalurkan masalah kepada pihak pengurusan dan bukannya mengambil tindakan dengan merusuh.
"Tahanan juga diminta supaya jangan merosakkan harta kerajaan atau bangunan pusat tahanan dan jangan cuba melarikan diri kerana pihak polis sudah mengepung pusat tahanan berkenaan," katanya.
Mohd Zaidi berkata, semua tahanan diminta supaya bersabar sementara menunggu proses penghantaran balik ke negara masing-masing selepas pandemik Covid-19 reda.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, hampir 400 penghuni di DTI berkenaan merusuh selepas tidak berpuas hati apabila proses penghantaran pulang ke negara asal mereka tertangguh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!