Guna satu logo: UMNO kena keluar BN dulu
SHAH ALAM - UMNO hanya boleh menggunakan satu logo bersama Pas bagi berdepan PRU15 selepas parti itu keluar daripada BN.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, sekiranya kedua-dua parti itu mahu merealisasikan kerjasama politik yang utuh, penggunaan satu logo itu tidak dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.
Ini kerana katanya, UMNO masih dalam komponen BN yang memerlukan pandangan daripada rakan komponen, MIC dan MCA.
“Senario sekarang ini adalah UMNO masih lagi bertanding atas tiket BN dan tidak timbul isu penggunaan mana-mana logo kerana UMNO masih dalam komponen BN.
ARTIKEL BERKAITAN:
22 pimpinan UMNO-Pas anggotai Jawatankuasa Perundingan
Pas, UMNO guna satu logo dalam PRU15?
“Melainkan UMNO menarik diri dan keluar daripada komponen BN, maka barulah boleh bergerak secara sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam masa sama, mengenai kerjasama UMNO dan Pas yang dilihat membuahkan hasil apabila BN berjaya merampas kembali kerusi DUN Semenyih daripada PH, beliau berkata, situasi itu boleh diistilahkan sebagai kerjasama mudah.
“Maksudnya masing-masing (Pas dengan Pas dan UMNO dengan UMNO) tidak ada ikatan yang formal tetapi sedia bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama,” katanya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan melalui satu rakaman video yang menjawab soalan adakah UMNO dan Pas akan menggunakan satu logo berkata, perkara itu akan dibincangkan Selasa ini oleh jawatankuasa perunding antara Pas dan Umno.
Kerjasama UMNO-Pas dilihat membuahkan hasil dalam PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih dan situasi itu seolah-olah memberi gambaran kerjasama ini akan berterusan sehingga PRU15 akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!