Johor terima 10,000 dos vaksin CanSino minggu depan
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor akan menerima 10,000 bekalan vaksin Covid-19 jenis CanSino minggu depan.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, vaksin berkenaan dikhususkan untuk penduduk di kawasan pedalaman termasuk masyarakat orang asli.
Menurutnya, penerima vaksin berkenaan tidak perlu menunggu lama kerana ia melibatkan pemberian satu dos suntikan sahaja.
"Vaksin jenis ini dirancang untuk kegunaan masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar untuk diakses termasuklah di kawasan perkampungan orang asli.
"Penerimaan vaksin ini juga akan memudahkan petugas barisan hadapan untuk memberi suntikan kepada individu yang sukar bergerak atau mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat pelaksanaan Program Outreach Vaksin Covid-19 di Taman Perbadanan Islam Johor di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.
Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 secara 'walk-in' di beberapa PPV negeri ini dilihat mampu mengatasi beberapa masalah yang dihadapi berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.
"Jika sebelum ini terdapat masalah seperti belum menerima tarikh suntikan, ketiadaan bekalan, salah hari janji temu, namun dengan adanya pemberian secara 'walk-in' semua perkara itu dapat diatasi.
"Pemberitahuan vaksin secara 'walk-in' ini membolehkan mana-mana pihak untuk mendapatkan suntikan vaksin, apa yang penting nama-nama mereka akan diperoleh untuk disemak," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!