Hidangan ‘shield out’ pukau selera pelanggan
PUCHONG - Nasi dihidang panas bersama 'timbunan' makanan laut yang dimasak mengikut perisa pilihan pelanggan.
Sudah pastinya hidangan ‘shield out’ ini menambat selera mereka yang gemarkan makanan laut dengan resipi uniknya.
Jika anda mahu mencuba kelainan rasanya, boleh berkunjung ke Wanis Shield Out di Medan Selera Puchong Indah di sini.
Restoran ini dibuka dari jam 5 petang hingga 1.30 pagi setiap hari dengan layanan mesra pekerjanya selain menu memikat rasa.
Pemiliknya, Zawani Mohd Yusoff, 32, berkata, menu makanan laut itu antara yang menerima permintaan tinggi pelanggan.
Katanya, dia menerima kira-kira 100 tempahan setiap hari daripada pelanggan dan mereka gembira dengan setiap hidangan yang disediakan.
Zawani mengusahakan restoran berkenaan bersama suami, Mohd Alif Mohd Dom, 31.
“Istimewanya hidangan ini ialah pelanggan boleh pilih sama mahu perisa kari, paprik, tom yam, asam pedas, ‘buttermilk’ atau masam manis," katanya.
Bagaimanapun katanya dua hidangan paling laris ialah ialah perisa kari dan paprik.
“Selain makanan laut dan nasi yang dihidangkan di atas kertas parchment, ikan siakap dan kerabu mangga antara yang menjadi pilihan pelanggan. Set ini berharga antara RM30 hingga RM150,” katanya.
Ibu kepada lima anak itu berkata, sebelum ini dia menjalankan perniagaan nasi kukus ayam dara namun beralih kepada menu itu selepas melihat hidangan itu tular dan trending di media sosial.
"Saya pun tak sangka menu ini 'meletup, ada pelanggan yang datang dari Ipoh dan Johor semata-mata mahu menikmati kelazatan menu kami.
“Di sini saya guna resipi sendiri yang diolah untuk bangkitkan selera pelanggan. Kami guna bahan mentah segar termasuk ketam, kupang, kepah, udang dan sotong.
“Bukan saja boleh dinikmati di kedai, pelanggan juga boleh bawa balik atau tempah menerusi perkhidmatan penghantaran. Kami juga tawarkan kad royalti, pelanggan diberi satu set percuma selepas penuhkan cop di kad diberi setiap kali makan hidangan ini,” katanya.
Ternyata hidangan tanpa pinggan itu berjaya menambat selera penggemarnya yang kini menjadi sebahagian pilihan restoran di seluruh negara.
Pasangan ini turut membuka cawangan di cawangannya di Medan Selera Bazaria Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Zawani berkata, selain hidangan lambakan makanan laut itu, dia turut menawarkan menu ‘nasi kambing bakar’ dan ‘dump chick’.
Siapa tidak kecur liur dengan bau kambing bakar dan didatangkan bersama sos enak yang nyata berbeza rasanya.
"Nasi kosong dihidang bersama kambing bakar dan air asam dijual dengan harga RM10 bagi setiap set. Kami janjikan kepuasan pelanggan dalam setiap makanan yang dihidangkan,” katanya.
Bagi mereka yang mempunyai cita rasa berbeza, hidangan 'dump chick' mungkin boleh memenuhi selera.
Pelanggan boleh memilih sama ada pedas atau disaluti madu, hidangan ini menampilkan ayam goreng yang digabungkan dengan sos terpilih.
"Selain ayam goreng, di dalamnya juga terdapat hot dog dan kentang yang disiram dengan sos 'cheers'. Konsep hidangan ini juga sama ia akan dilambak di atas kertas untuk dinikmati seisi keluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!