KKM pertimbang sumbang pulse oximeter
GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan untuk menyumbangkan satu peranti bagi memantau tahap oksigen, pulse oximeter bagi setiap keluarga yang memerlukan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu berbangkit selepas pihak kementerian mendapati berlaku peningkatan kes happy hypoxia melibatkan golongan yang lebih muda.
Gejala happy hypoxia merupakan komplikasi kandungan oksigen rendah dalam kalangan pesakit Covid-19.
Happy hypoxia mula dikesan menyerang segelintir pesakit Covid-19 di negara ini hasil pemerhatian klinikal yang dibuat kebelakangan ini.
Menurutnya, gejala itu dikesan menjadi pembunuh senyap tidak bergejala pesakit Covid-19.
"Kementerian sedang melihat peningkatan golongan lebih muda sekarang yang berada dalam kategori tiga dan lima. Apa yang merisaukan adalah peningkatan kes happy hypoxia.
"Kami dengan segera melaksanakan kiraan bajet untuk pemberian sumbangan pulse oximeter kepada keluarga yang memerlukan," katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Komtar di sini, pada Sabtu.
Jelasnya lagi, mereka yang sedang menjalani kuarantin kendiri diminta untuk melaporkan kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) mengenai simptom awal berkaitan dengan kes happy hypoxia.
"Kami akan kemas kini komunikasi mereka yang jalani kuarantin kendiri dengan CAC sekiranya berlaku gejala awal happy hypoxia seperti kadar denyutan nadi yang tinggi.
"Selalunya dalam kalangan golongan muda ini, mereka tidak akan menghadapi apa-apa gejala, namun dalam tempoh 24 hingga 48 jam, kesihatan mereka boleh merosot dengan mendadak dan menjadi punca kes 'Brought In Dead' (BID) akibat jangkitan Covid-19 meningkat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, KKM meminta klinik swasta untuk tampil dalam membantu kementerian bagi memantau pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.
"Kami merayu kepada klinik swasta untuk membantu kementerian dalam membantu pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah di bawah CAC.
"Memang akan ada bayaran terlibat, sekurang-kurangnya mereka boleh bantu pantau 10 hingga 15 pesakit untuk elakkan berlakunya kes BID," katanya.
Dalam masa sama, beliau mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong sebagai penyelaras antara kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan pusat berhubung isu membabitkan Covid-19.
"Perkara ini merupakan pendekatan bi-partisan yang diambil bagi mengatasi masalah yang berlaku dan mempercepat usaha menangani jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!