Hampir 120 unit PPR Sri Aman bermasalah
KEPONG - Hampir 120 aduan diterima daripada penduduk Projek Perumahan Awam (PPR) Sri Aman, Jinjang Utara di sini yang berdepan masalah kerosakan unit disebabkan masalah teknikal.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Aman, Mohamed Nawaz Koya berkata, masalah seperti resapan air pada dinding disebabkan isu kebocoran saluran itu dikesan seawal mereka menduduki unit secara berperingkat sejak 2017.
Menurutnya, ketika itu sebanyak 400 borang aduan telah dikemukakan oleh penduduk ke pejabat kecil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk pembaikan.
"Penduduk diberikan masa selama sebulan untuk membuat aduan kerosakan unit sebaik menerima kunci dan pihak DBKL telah membaikinya.
"Namun, masalah itu kembali berulang dan hampir 120 rumah didapati mengalami kerosakan itu melalui borang bancian diterima sejak awal tahun ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau ditemui sesi lawatan oleh Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran bersama dua pakar penyelenggara bangunan terdiri perunding bebas, Amrathwant Singh dan jurutera awam, Zahir Hassan.
Mohamed Nawaz berkata, pihaknya mempersoalkan mutu kerja pembaikan yang dilakukan susulan tiada pemantauan dan urusan itu hanya melibatkan kontraktor dengan pemilik rumah.
"Tidak dinafikan DBKL ada turun bantu menyelesaikan permasalahan ini, namun pihak persatuan tidak dilibatkan bersama sebaliknya laporan tersebut diserahkan terus kepada ibu pejabat.
"Isu ini telah dibangkitkan sebelum ini, surat menyurat kepada pihak berkaitan juga telah dilakukan dan berharap masalah ini dapat diselesaikan secara menyeluruh," katanya.
Dalam pada itu, Zahir berkata, pelan reka bentuk dan kualiti pembinaan serta dokumen berkaitan perlu disemak terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca utama kerosakan teknikal tersebut.
"Pemerhatian secara awal dapat dilihat banyak kebocoran air di laluan awam di setiap tingkat dan terdapat juga air menitik di ruang tamu rumah penduduk. Selain itu, terdapat juga kebocoran pada saluran najis yang berterusan yang dapat dilihat melalui lumut pada dinding.
"Namun kita belum boleh membuat sebarang kesimpulan kerana kita memerlukan dokumen berkaitan untuk kenal pasti masalah sama ada disebabkan kekurangan dari segi reka bentuk atau disebabkan masalah-masalah lain," katanya
Sementara itu, Prabakaran berkata, pihaknya sedang menyediakan memorandum dan dalam usaha bertemu pihak DBKL untuk mencari jalan penyelesaian.
"Saya mohon pihak DBKL turun dan bincang dengan penduduk sebelum masalah ini menjadi semakin buruk. Ada rumah yang rosak tapi masih diduduki, dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan penduduk.
"Selain itu, saya juga akan bangkitkan isu ini di dalam Parlimen. Isu ini tidak sepatutnya berlaku jika Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempunyai satu jawatankuasa untuk pantau kualiti pembinaan perumahan terutama rumah kos rendah dan sederhana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!