Tiga lelaki ditahan miliki sniper, pistol tiruan

Tiga lelaki ditahan kerana memiliki selaras sniper dan sepucuk pistol tiruan.
Tiga lelaki ditahan kerana memiliki selaras sniper dan sepucuk pistol tiruan.
A
A
A

AMPANG - Hobi tiga lelaki memiliki selaras sniper dan sepucuk pistol tiruan mengundang padah apabila ditahan polis di Taman Dato Ahmad Razali di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tiga lelaki berusia 27 hingga 37 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.15 tengah hari.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui satu beg berwarna hitam berisi satu objek menyerupai sepucuk pistol, dua kelopak pistol berwarna hitam, satu bekas tin kecil mengandungi biji-biji kecil dipercayai peluru plastik, satu alat laser (laser pointer) dan sebilah pisau lipat berhulu coklat berukuran lebih kurang 19.5 sentimeter.

"Hasil soal siasat, polis telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah suspek di Jalan Berembang, Kuala Lumpur pada jam 5.50 petang.

"Polis telah merampas selaras senjata lengkap menyerupai sniper berwarna hitam panjang, tiga botol tin gas dan tiga bekas mengandungi biji-biji kecil dipercayai peluru," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil siasatan pistol tiruan dan peralatan itu dibeli di aplikasi dalam talian pada tahun 2019 dengan harga RM400.

"Senjata itu dijadikan sebagai koleksi dan hobi," katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek pertama berusia 27 tahun bekerja sebagai penghantar barangan dan memiliki tujuh rekod dalam pelbagai kesalahan dadah serta tipu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kedua berusia 37 tahun pula bekerja sebagai jurujual, manakala suspek ketiga berusia 36 tahun bekerja sebagai mekanik dan mempunyai satu rekod lampau dalam kesalahan dadah," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula Sabtu hingga Selasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!