MOSTI, KKM lakukan pembersihan data tangani isu sijil digital vaksin

Dr Adham (dua dari kanan) sempat bertanya khabar individu yang datang ke PPV Tunjong untuk dapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada Sabtu.
Dr Adham (dua dari kanan) sempat bertanya khabar individu yang datang ke PPV Tunjong untuk dapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Teknologi Sains dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pembersihan data bagi menangani masalah pengeluaran sijil vaksinasi Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, data yang telah dibersihkan seterusnya akan diserahkan kepada saluran sistem yang telah ditetapkan untuk pengeluaran sijil digital berkenaan.

"Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan penerima vaksin masih tidak mempunyai sijil digital vaksin.

"Tiga faktor telah dikenal pasti dan salah satunya ialah apabila petugas menyuntik ratusan ribu (vaksin) setiap hari, ada berlaku di mana nombor siri vaksin tidak dikemas kini di akhir proses oleh mereka di stesen vaksinasi yang akhir," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Adham sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tunjong di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut katanya, dua faktor lain adalah terdapat kesilapan maklumat seperti ejaan nama yang berbeza atau nombor kad pengenalan yang tidak lengkap berbanding data di Jabatan Pendaftaran Negara.

Selain itu, katanya, faktor ketiga ialah ada juga data yang diterima daripada program vaksinasi di luar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), contohnya yang dikendalikan oleh kerajaan negeri, pihak swasta, pejabat kedutaan dan penerima vaksin dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Data-data tersebut tidak melalui saluran sistem PICK. Oleh itu, ia perlu disahkan dan dikemas kini terlebih dahulu, menyebabkan sijil digital mereka tidak dapat dikeluarkan serta-merta.

"Sebagai penyelaras PICK, MOSTI dan KKM akan bekerjasama erat dan komited memperoleh penyelesaian kepada masalah ini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasukan yang menguruskan aplikasi MySejahtera diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan isu berkaitan sijil digital vaksinasi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia berikutan ada individu yang telah menerima suntikan vaksin lengkap, namun aplikasi berkenaan tidak memaparkan sijil digital itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!