Sektor pembinaan hadapi kekurangan serius pekerja 3D

Fadillah melihat gambar pembinaan jambatan Sungai Sarike ketika meninjau tapak WPC 06 Lebuh Raya Pan Borneo di Bintangor pada Sabtu. - Foto Bernama
Fadillah melihat gambar pembinaan jambatan Sungai Sarike ketika meninjau tapak WPC 06 Lebuh Raya Pan Borneo di Bintangor pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SARIKEI - Sektor pembinaan di negara ini menghadapi kekurangan pekerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang serius hingga menyebabkan beberapa projek besar tergendala, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, pihak kontraktor yang bergantung pada pekerja asing bagi kerja-kerja dalam kategori itu, menghadapi kesukaran untuk menepati jadual pembinaan, meskipun sektor pembinaan telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya dalam fasa pemulihan pandemik Covid-19.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo antara projek mega yang terkesan apabila beberapa Kontraktor Pakej Kerja (WPC) mungkin tidak dapat disiapkan menjelang September tahun depan, katanya.

“Warga tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D. Kita tidak mempunyai masalah dengan pekerja separuh mahir dan mahir, memandangkan warga tempatan boleh melakukan pekerjaan itu.

“(Namun) kita bergantung kepada buruh-buruh dari Indonesia, Bangladesh dan India untuk melakukan kerja-kerja 3D,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak WPC 06 Lebuh Raya Pan Borneo di Bintangor pada Sabtu.

Bagaimanapun, menurut Fadillah, buat masa kini amat sukar untuk mendapatkan pekerja buruh dari negara-negara berkenaan ekoran ancaman varian Delta Covid-19.

Ini ditambah pula, dengan negeri-negeri lain termasuk Sarawak turut melaksanakan banyak projek sendiri, menyebabkan terdapatnya keperluan untuk mengambil ramai buruh asing bagi kedua-dua projek kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Sarawak mempunyai garis panduan tersendiri bagi proses membawa masuk buruh asing, oleh itu kerajaan pusat dan negeri perlu berbincang dan mencari jalan dalam perkara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengakui masalah buruh yang dihadapi syarikat konsensi WPC Pan Borneo, Fadillah menggesa mereka untuk memberi fokus terhadap kerja utama iaitu pembinaan jalan raya supaya ia dapat disiapkan menjelang September tahun depan.

Skop kerja lain yang kurang penting boleh diselesaikan sebelum Disember 2022, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!