CITF akan lakukan pengharmonian data individu divaksin

Adham (dua dari kiri) melihat proses vaksinasi di PPV Tunjong pada Sabtu.
Adham (dua dari kiri) melihat proses vaksinasi di PPV Tunjong pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) ditugaskan untuk melakukan pengharmonian data bagi mendapatkan jumlah sebenar penduduk yang masih belum dan sudah menerima vaksinasi Covid-19 mengikut negeri.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kerajaan memperoleh angka sebenar bagi mencapai imuniti kelompok.

Menurutnya, pengharmonian data berkenaan akan dilakukan di seluruh negara dan Kelantan menjadi antara negeri yang mempunyai angka sangat ketara memandangkan kebanyakan rakyat negeri ini yang berhijrah telah mendapat vaksinasi masing-masing di lokasi tempat tinggal mereka ketika ini.

“Kita akan lihat data ini kerana semasa kita cari mereka yang berada di Kelantan, kita dapati mereka telah diberikan vaksin di negeri-negeri lain seperti di Putrajaya, Kuala Lumpur dan sebagainya. Jadi kita akan buat data secara harmoni.

“Negeri lain juga kita akan buat tetapi buat masa ini Kelantan adalah negeri yang ketara mengalami masalah ini,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Adham sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tunjong, Kota Bharu yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Adham berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pengharmonian pendaftaran tersebut sekali gus dengan pengeluaran sijil Mysejatera.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai vaksinasi melibatkan masyarakat di Kelantan, Adham berkata, pihaknya dimaklumkan sebanyak 71 peratus keseluruhan rakyat Kelantan dewasa telah melengkapi dua dos vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita sekarang perlu memberikan tumpuan di daerah-daerah dan kawasan yang mempunyai kadar vaksinasi rendah seperti di Gua Musang dan Kuala Krai.

“CITF Negeri sudah bersetuju untuk terus bergerak dengan menggunakan bantuan pelbagai agensi bagi menghantar 18,000 dos vaksin jenis CanSino untuk mereka yang berada di luar bandar ini.

“Mengikut data, kita ada 7,000 orang masyarakat orang asli dan selepas habis vaksinasi mereka, dos selebihnya ini boleh digunakan untuk masyarakat biasa yang tinggal di kawasan pedalaman berkenaan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!