FAM perlu ada pelan alternatif

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mempunyai pelan alternatif sebagai mekanisme memastikan perkembangan pemain muda tidak terbantut selepas membatalkan pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Kebangsaan selama dua tahun berturut-turut.

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam satu kenyataan berkata, ketiadaan pertandingan ini merencatkan proses pembangunan pemain dan akan memberikan kesan besar buat bola sepak negara, lebih-lebih lagi aspek ini merupakan salah satu teras penting dalam misi F:30.

“Sepertimana yang kita semua tahu, Piala Presiden dan Piala Belia adalah merupakan pentas pembangunan bakat-bakat pemain muda yang merupakan generasi pelapis bola sepak negara, sementara Liga Futsal Kebangsaan adalah merupakan pentas futsal yang telah diangkat statusnya sebagai sebuah Liga Profesional.

“Para pemain telah meluahkan rasa kecewa dan sedih di atas pembatalan ini, lebih-lebih lagi buat kelompok para pemain yang sudah melepasi had umur kelayakan pertandingan bagi Piala Presiden dan Piala Belia.

“Pengumuman oleh pihak kerajaan dengan membenarkan pembukaan semula fasiliti sukan outdoor dan indoor perlu diambil peluang oleh FAM untuk menyediakan sebuah pelan alternatif sebagai mekanisme memastikan perkembangan pemain tidak terencat ketika ini," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, PFAM menyokong dan sangat menggalakkan pasukan-pasukan untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan atau menganjurkan pertandingan mini sesama sendiri untuk memastikan para pemain mempunyai minit permainan yang secukupnya.

“Selain itu, PFAM turut melihat saingan Liga M3 yang masih berada dalam perancangan menjadi medan pasukan-pasukan melibatkan para pemain Piala Presiden dan Piala Belia ini secara pinjaman. Di samping itu, keterbukaan pasukan utama Liga Super dan Liga Premier untuk menyenaraikan beberapa pemain bagi mengisi skuad kempen Piala Malaysia kelak.

“PFAM percaya pihak FAM sudah arif berhubung kawalan pelaksanaan SOP yang ketat, dan ini semestinya tidak akan memberikan sebarang masalah sekiranya saranan ini dijalankan menerusi pemantauan secara berkesan daripada pihak FAM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, PFAM juga ingin menyeru agar semua pihak yang berkenaan dapat memberikan bantuan untuk mempercepatkan proses vaksinasi buat para pemain yang masih belum menerima suntikan vaksin lengkap sebanyak dua dos mahupun satu dos bagi membolehkan mereka beraksi dalam pertandingan ini.

“Maklumat berkenaan hal ini boleh diserahkan melalui pasukan masing-masing kepada pihak FAM, bagi membolehkan data yang tepat boleh diberikan kepada pihak berkenaan agar urusan vaksinasi ini boleh diaturkan dengan lancar.

“PFAM khuatir sekiranya hal ini tidak dijaga dengan sebaiknya misi F:30 yang telah digarap dengan sempurna oleh pihak FAM boleh terjejas. Perkara inilah yang seharusnya kita semua selaku pemegang taruh bola sepak negara cuba elakkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!