Tiga beranak maut tertimbus pakaian di Indonesia
BANJARMASIN - Tiga beranak ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila terperangkap dalam timbunan pakaian di sebuah gudang dua tingkat di Kalimantan Selatan, Indonesia pada Jumaat.
Kejadian di kawasan Ratu Zaleha, Banjarmasin Timur itu hanya disedari kira-kira dua hari selepas penduduk setempat tidak melihat kelibat ketiga-tiga mangsa.
Polis berkata, mangsa merupakan pasangan suami isteri berusia 42 dan 33 serta anak lelaki mereka yang berusia enam tahun.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Banjarmasin, Komisioner Alfian Tri Permad, pasangan suami isteri itu adalah pekerja di gudang tersebut dan menjadikan premis berkenaan sebagai tempat tinggal mereka.
"Mayat mangsa ditemui oleh salah seorang anak pemilik gudang pakaian tersebut.
"Saksi datang ke gudang itu kerana berasa pelik kerana mangsa tidak menjawab panggilan telefon," ujar Alfian.
Siasatan awal mendapati semasa kejadian ketiga-tiga mangsa berada di tingkat bawah dan ditimpa puluhan pakaian yang disusun terlalu tinggi dari tingkat atas premis.
Polis turut menolak unsur jenayah selepas melakukan siasatan terperinci di lokasi kejadian.
"Timbunan pakaian amat banyak dan menyukarkan proses mengeluarkan mangsa.
"Kami terpaksa meminta bantuan penduduk bagi mengalihkan pakaian-pakaian tersebut," kata Alfian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!