Cahaya misteri muncul selepas gempa bumi kuat
BANDAR RAYA MEXICO - Beberapa cahaya muncul dengan tiba-tiba di langit bandar raya Mexico dan Acapulco selepas berlakunya gempa bumi yang berpusat dekat bandar pelancongan Acapulco pada malam Selasa lalu.
Cahaya yang muncul itu menyebabkan sejumlah penduduk berasa takut sehingga menyangkakan hari kiamat sedang berlaku di bandar raya tersebut.
Ini adalah kerana cahaya itu muncul ketika bandar raya berkenaan digegarkan dengan gegaran gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud yang berpusat kira-kira lebih 10 kilometer dari bandar pelancongan, Acapulco.
Ketika gempa bumi itu berlaku, gegaran turut dirasai di bandar raya tersebut walaupun ia terletak beratus-ratus kilometer dari pusat gempa.
Dalam satu rakaman video dari Acapulco di media sosial, beberapa cahaya itu muncul di langit selepas gempa bumi itu menyebabkan bangunan-bangunan bergoyang di bandar tersebut.
Para pengguna menghantar banyak video yang menunjukkan fenomena ganjil itu dengan menggunakan nama Apocalipsis yang bermaksud dunia sudah berakhir.
Dalam gempa bumi tu, seorang lelaki terbunuh selepas ditimpa sebatang tiang tenaga berdekatan bandar Coyuca de Benitez.
Seorang pakar fizik dari Universiti Rutgers, Profesor Troy Shinbrot berkata fenomena cahaya selepas gempa bumi telah direkodkan dalam sejarah.
Teori-teori sebelum ini menyatakan bahawa cahaya selepas gempa bumi berlaku disebabkan berlakunya geseran yang terjadi akibat pergerakan batu-bata sehingga mencetuskan aktiviti elektrik. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!